boboiboy
Tanya sahaja kepada kanak-kanak juga orang dewasa, siapakah superhero atau adiwira animasi yang menjadi pujaan mereka sebelum ini. Pasti tertumpu kepada Ben10, Ultraman, Doraemon, Dragon Ball dan banyak lagi.

Jika dulu orang ramai terpegun dengan animasi luar negara, namun setelah hasil kerja anak muda tempatan ini semakin hangat ditayangkan, penonton sudah mula membuka mata dan cenderung menonton animasi berwajah Malaysia yang lebih mudah difahami.

Melihat perkembangan sekarang, ternyata produk animasi tempatan sama ada dua dimensi (2D) atau tiga dimensi (3D) sudah mampu bersaing dan diterima ramai. Bukan sahaja dalam negara kini, ia juga boleh ditonton di negara jiran, Indonesia seperti siri animasi Upin&Ipin.

Maka tidak sia-sia niat Mohd Nizam Abdul Razak atau lebih mudah dikenali Nizam Razak, yang ingin membuka mata penonton dalam usaha memperjuangkan produk animasi.

“Saya bermula sebagai pengarah eksekutif, pengarah dan penulis skrip dalam penghasilan Upin&Ipin. Berlandaskan usaha berserta minat mendalam, animasi itu sudah berjaya diangkat hingga ke layar perak.
“Bertitik-tolak dari kejayaan Upin&Ipin, perasaan dan keinginan untuk mempunyai animasi jenama sendiri semakin membuak-buak.

“Selepas merasakan industri animasi di Malaysia semakin berkembang, maka saya memberanikan diri menghasilkan animasi saya sendiri iaitu BoBoiBoy,” kata graduan Filem dan Animasi, Universiti Multimedia, Cyberjaya ini.

Detik pembabitan

Nizam yang turut bertindak selaku Pengarah Urusan Syarikat Animosta Studio berkata, usaha mencipta sesuatu baru ini bukan mudah, kerana ia perlu berbekalkan minat mendalam dan komitmen tinggi.

“Selain berbekalkan usaha, penghasilan animasi juga perlu berlandaskan kualiti, bahan segar dan menarik agar produk animasi tempatan ini boleh di bawa ke peringkat lebih tinggi memandang industri ini cukup luas sekarang.

“Berbeza jika dibandingkan 10 tahun lalu, penerbitan animasi hanya dipandang sebelah mata kerana kurang pendedahan dari segi penghasilan,” katanya.

Nizam mengakui meminati banyak watak animasi seperti Doraemon, Detactive Konan, Sinchan dan telah menjadikan karakter ini sebagai pemangkin semangatnya untuk terus menghasilkan produknya sendiri.

Katanya, sejak berada di pusat pengajian tinggi, dia sudah mengimpikan sesuatu lebih jauh dalam bidang animasi walaupun peringkat awal mendapat tentangan dan dipandang remeh.

“Penghasilan Misi Mustahak bersama rakan-rakan untuk projek tahun akhir , membuatkan saya terfikir, anak muda tempatan boleh menghasilkan animasi malah lebih baik daripada sedia ada.

“Lebih menarik apabila karya kami mendapat pujian dan berjaya menarik minat pensyarah serta rakan-rakan. Dari situ semangat mula datang dan semakin menebal dari hari ke hari untuk menjadikan minat sebagai kerjaya,” ujarnya.

Cetusan idea BoBoiBoy

Selepas berhempas-pulas menimba pengalaman di Les’ Copaque Productions Sdn Bhd (LCPSB) dalam membangunkan animasi Upin&Ipin, Nizam kini boleh berbangga dengan kejayaan BoBoiBoy.

Biarpun pada peringkat awal tindakannya menghasilkan BoBoiBoy memaksanya untuk berdiri di atas kaki sendiri, Nizam tidak patah semangat.

Melihatkan animasi Upin & Ipin yang diusahakan selama empat tahun berada di Les’ Copaque Production Sdn Bhd boleh berjaya, mengapa pula tidak Boboiboy lantas dia mengambil keputusan tekad membuka studionya sendiri.

Walaupun baru tujuh bulan berada di pasaran, BoBoiBoy yang dihasilkan bersama bersama teman sealiran iaitu Mohd Safwan Abd Karim (Pengarah Eksekutif Animosta Studio), Muhammad Anas Abd Aziz (Pengarah Kreatif Animosta Studio) dan Kee Yong Pin (Pengarah Penerbitan Animosta Studio), di bawah jenama Animosta Studio.

Bercerita pengalamannya menghasilkan BoBoiBoy, Nizam mengakui, mereka berempat berhempas-pulas dan bersengkang mata menghasilkan produk sendiri selama beberapa bulan.

“Menghasilkan idea baru bukan mudah, kami terpaksa menyewa rumah dan memerah idea menyiapkannya. Bayangkan satu episod kami memerlukan masa sebulan, jadi untuk 13 episod, hampir setahun kami usahakan tanpa mengira siang atau malam.

“Adakala kami kekurangan sumber kewangan dan terpaksa mengeluarkan wang simpanan dan meminta bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan untuk menjayakannya usaha ini,” katanya.

Malah Nizam juga terpaksa menerangkan kepada keluarga mengapa dia nekad menjadikan bidang animasi sebagai kerjaya.

“Ketika baru bermula, ibu bapa saya pelik bila saya mengutarakan cadangan untuk masuk dalam bidang animasi kerana mereka bimbang pada waktu itu, sukar mencari makan dalam bidang ini.

“Namun dari minat mendalam dan memperlihatkan kesungguhan dalam bidang animasi serta berkat kesabaran, akhirnya pemilihan kerjaya ini membuahkan hasil yang menguntungkan apabila BoBoiboy berjaya dihasilkan untuk beberapa episod,” katanya.

Usaha berbaloi

Nizam berkata, meskipun perlu melalui pelbagai saat sukar, mereka bersyukur kerana akhirnya ada pihak yang sudi menghulurkan tangan untuk membantu menjayakan impiannya.

Pada peringkat awal, beberapa agensi kerajaan termasuk Pusat Kandungan Kreatif Multimedia Malaysia (MAC3) di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), membekalkan beberapa perisian
untuk kemudahan menghasilkannya.

Tidak terhenti di situ sahaja, Nizam juga berjaya mendapat kerjasama daripada sebuah lagi agensi, Cradle Fund Sdn. Bhd. yang membantu menyalurkan dana bagi merealisasikan projek Boboiboy yang dijadikan sebagai batu loncatan.

“Sokongan daripada Multimedia Development Corporation (MDeC) menerusi grant BCi2 dan MAC3, salah satu inisiatif MDeC dalam menyediakan lokasi, kemudahan perisian dan hardware untuk syarikat seperti kami.

“Daripada situlah saya bersama rakan-rakan semakin hari semakin bersemangat untuk menerbitkan BoBoiBoy musim pertama dan seterusnya mengembangkannya,” ujar Nizam.

Perkembangan BoBoiBoy dapat dilihat dengan terhasil DVD, butang BoBoiBoy mengikut watak dan beberapa barangan yang berada di pasaran tidak lama lagi antaranya baju, bekas pensil, beg sekolah, buku, kek dan banyak lagi.

Nizam menambah, ia tidak cukup setakat itu sahaja, kejayaannya yang juga salah seorang peneraju BoBoiBoy turut dibantu oleh suara latar orang yang cukup berbakat.

“Jika tidak ada individu seperi adik Nur Fathiah sebagai BoBoiBoy, Nur Sarah Alisya (YaYa), Yap Ee Jean (Ying) dan Dzubir Mohammed Zakaria (Gopal), maka BoBoiBoy juga tidak ke mana,” ujarnya.

Sementara itu, daripada beberapa penghasilan, pembelajaran dan pengalaman yang boleh dikutip selama dia berkecimpung dalam industri animasi ini Nizam menekankan beberapa prinsip.

Nizam berkata, prinsip yang di pegang setakat ini, dengan mementingkan penghasilan produk yang berkualiti tinggi termasuklah daripada segi penceritaan dan skrip animasi itu selain watak yang terkandung.

“Selain itu ia juga yang perlu ada adalah realistik di mana jangan terlalu terpesona dengan penghasilan yang boleh dikatakan sebagai syok sendiri. Watak yang ditampilkan perlu sesuai dan diminati. Selalunya saya akan siarkan di laman Youtube untuk mendapat maklum balas. Barulah kerja tak sia-sia,” ujarnya.

Kini, segala usaha yang dilakukan selama ini boleh dianggap berbaloi kerana animasi BoBoiBoy telah mencetus satu lagi fenomena baru dalam dunia interaktif tempatan hingga berjaya menarik minat tiga juta penonton di TV3.

Ikon kanak-kanak

BoBoiBoy kini bukan sahaja ditayangkan TV3 sahaja bahkan sudah mendapat tempat di saluran Disney (Astro) dan akan memasuki pasaran Indonesia pada tahun hadapan.

“Setiap karakter dihasilkan mempunyai nilai tersendiri. Bukan senang untuk menghasilkan produk yang baik.

“Dengan meminati banyak watak animasi, sedikit sebanyak banyak membantu dalam menghasilkan idea untuk menerbitkan superhero namun ia harus selaras dengan budaya dan fahaman masyarakat kita.

“Bukan untuk membuat perbandingan, masing-masing punya keistimewaan sendiri cuma apa dibawakan BoBoiBoy lebih jauh ke depan yang banyak kami berkongsi tentang pengetahuan.

“Animasi boleh dijadikan ikon, jadi kalau boleh kami mahu BoBoiBoy dilihat sebagai satu lagi ‘ikon’ berkualiti untuk kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Secara ringkas apa yang menarik dalam Boboiboy meliputi karakter super hero Bo, Boi dan Boy, nilai-nilai murni, karakter makhluk asing dan juga unsur futuristik di sekitar ibu kota.

Ia memaparkan karakter utama, seorang kanak-kanak bernama BoBoiBoy dan dibantu oleh beberapa karakter tambahan seperti Gopal, Ying, Yaya.

Kisahnya bermula dalam usaha dirinya menyalurkan bantuan kepada orang ramai, BoBoiBoy terpisah kepada tiga orang iaitu Bo, Boi dan Boy. Dalam masa yang sama mempunyai tiga kuasa berbeza termasuk tanah, angin dan petir.

Cabarannya juga ditambah mewujudkan karakter makhluk asing yang membawa pulang biji kopi ke planetnya
.