widget

Thursday, April 28, 2011

Bekas Cikgu Tumbuk, Sepak Guru Besar Didenda


NORAZMAN ketika hadir ke Mahkamah Majistret Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang bekas guru lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah menumbuk dan menyepak seorang guru besar sehingga cedera empat tahun lalu.
Majistret Nor Azah Idris turut memerintahkan Norazman Abdul Wahab, 43, dari Jalan Datuk Kumbar di sini dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Norazman yang merupakan bapa kepada empat orang anak didapati dengan sengaja melakukan perbuatan itu terhadap Halim Saad, 52, di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis, Jalan Langgar di sini pada pukul 8.30 pagi 20 Disember 2006.
Mangsa ditumbuk di muka dan disepak di paha oleh tertuduh sehingga terjatuh.
Norazman dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Norazman yang memakai baju kemeja warna hitam merayu agar hukuman ringan dikenakan kerana dia tidak mempunyai pendapatan selepas tidak bekerja sebagai guru sejak tiga tahun lalu selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak.
“Saya mohon dikurangkan hukuman kerana dua anak saya masih belajar di universiti sementara dua lagi bersekolah,” katanya.

Penyanyi Okid Abdullah Terlantar Sakit Akibat Tumor


Rakan artis iaitu Datin Julie Sudiro, Aspalela Abdullah dan Datuk Sarimah Ahmad serta Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez melawat penyanyi Datin Orchid Abdullah di rumahnya di Dataran Ukay, Ampang, Rabu. - Foto RAJA FAISAL HISHAN
AMPANG: Penyanyi veteran Datin Orchid Abdullah,64, yang popular dengan lagu Penawar Rindu berada dalam keadaan uzur akibat menghidap penyakit tumor yang dikenali “paraganglioma” sejak beberapa tahun lalu.
Menurut anaknya bongsunya Eenaz Mokhtar, 31, keadaan ibunya semakin kritikal selepas menjalani pembedahan di perut pada Februari tahun lalu dan mula tidak boleh bergerak beberapa bulan selepas itu.
"Selepas ibu menjalani pembedahan dia mula sukar bergerak. Doktor mengesahkan dia mengalami penyakit “paraganglioma” yang jarang berlaku di kalangan pesakit.
“Kata doktor penyakit ini hanya boleh dirawat di Hospital Putrajaya sahaja," ujarnya yang bergilir-gilir menjaga Orchid bersama-sama dua abang dan seorang kakaknya.
Tambah Eenaz doktor menasihati ibunya dibawa ke sebuah hospital di Maryland, Amerika Syarikat tetapi keadaannya tidak mengizinkan untuk bergerak jauh.
Anak bongsu Orchid, Eenaz tidak dapat menahan sebak melihat keadaan ibunya.
“Untuk membawa dia mengambil angin di luar rumah pun dia tak tahan, apatah lagi nak membawanya menaiki kapal terbang. Jadi, kami hanya melakukan rawatan tradisional seperti memberinya jus beri, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.
Terdahulu Persatuan Karyawan Malaysia bersama rakan-rakan artis turut melawat Orchid di rumahnya di Dataran Ukay di sini, Rabu
Kunjungan tersebut turut disertai Presiden persatuan itu Datuk Freddie Fernandez, Datuk Sarimah Ahmad, Julie Sudiro, Aspalela Abdullah dan Shamsudin Lamin.
Freddie serta empat artis tersebut turut menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Orchid selain mendoakan kesihatan Orchid agar cepat sembuh.
Sementara itu menurut Freddie, skim pencen Karyawan untuk artis veteran terpaksa dihentikan sementara kerana persatuan itu mengalami masalah kewangan.
Katanya, skim yang telah dianjurkan sejak enam tahun lalu itu ditangguhkan sejak enam bulan lalu untuk membolehkan pihaknya mencari semula dana.
Sebelum ini, lebih 30 artis veteran telah menerima sumbangan berupa pencen bulanan berupa wang tunai sebanyak RM500 sebulan.
"Kami akan menganjurkan beberapa aktiviti seperti pesta lawak “The Return of Pi Mai Pi Mai Tang Tu” pada Jun ini untuk mengumpul dana skim tersebut.
"Kami tahu ramai artis veteran yang mengeluh kerana tidak menerima sumbangan sebanyak RM500 sebulan seperti yang diberikan sebelum ini. Bagaimanapun kami berharap mereka bersabar," ujarnya.

Deejay Lin Tidak Bangga Diri Jadi Ibu Tunggal


Deejay Lin ketika majlis pengumuman sebagai duta kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna di ibu kota, Selasa. - Foto AZMAN GHANI
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Deejay Lin mahu berkongsi pengalaman hidupnya sebagai ibu tunggal bukan kerana dia mahu berbangga diri dengan statusnya itu.
Sebaliknya deejay yang popular menerusi slot Suria Cinta itu nekad untuk memberikan semangat kepada para ibu tunggal yang tidak bernasib baik sepertinya.
“Sebelum ini, mungkin ada yang menganggap ibu tunggal seperti golongan yang lemah dan gagal membentuk keluarga yang bahagia. Mungkin ada di kalangan mereka merupakan wanita yang tidak berkerjaya dan tidak mempunyai punca pendapatan.
“Jadi, saya akan cuba menceritakan tentang bagaimana cara saya melalui hidup sebagai ibu tunggal bermula daripada tidak mempunyai aset tetap sehingga sekarang,” katanya yang telah melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selama lima tahun.
Lin yang dilantik sebagai duta kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna akan berkongsi pengalamannya dengan ibu tunggal di kalangan orang Melayu dalam program 'Hari Memperkasakan Diri' pada 18 Jun depan.
Selain itu, dia akan menjadi mentor kepada tiga orang ibu tunggal yang akan dipilih kemudian. Untuk penyertaan, mereka yang berminat boleh melayari www.protonpersona.com.my.
Sementara itu, Lin juga masih belum membuat keputusan untuk rujuk semula dengan bekas suaminya yang tinggal selang tiga buah rumah dari rumahnya.
“Anak sulung saya ada bercakap tentang perkara ini dan meminta saya rujuk semula dengan bekas suami. Bagaimanapun saya perlu memikirkan perkara ini dengan semasak-masaknya.
“Jika saya terima pun, terus-terang sebab saya fikirkan tentang anak kerana mereka sangat mengharap,” jelasnya yang mempunyai dua orang anak berusia 10 tahun dan 8 tahun.

Bakal Isteri Putera William Mimpi Bogel


Putera William dan Kate Middleton
TINGGAL sehari lagi menjelang pernikahannya dengan Putera William, Kate Middleton mula merasai kegusaran di hatinya.
Malah pada saat-saat yang dianggap penuh ketegangan, Kate mula mengalami mimpi buruk sejak beberapa hari lalu.
Peliknya, Kate mengalami tekanan menjelang hari bahagianya apabila dia bermimpi sedang bertelanjang di depan altar sebelum dikahwinkan dengan anak mendiang Puteri Diana itu.
"Ternyata Kate kini sangat tertekan menjelang hari perkahwinannya. Ini kerana seluruh rakyat Britain akan menyaksikan perkahwinannya dengan Putera kesayangan ramai.
"Cuma apa yang dimimpikannya itu agak pelik lebih-lebih lagi dia sudah lama dia tidak mengalami mimpi buruk yang memalukannya. Mungkin dia terlalu berdebar dengan keadaan di sekelilingnya ," kata sumber terdekat Kate kepada laman portal Splashnews.com.
Tambah sumber tersebut, Kate sambil bergurau kepadanya mengatakan dalam mimpi tersebut, ketika dia bertelanjang di hadapan umum, dia tidak tahu bahagian tubuh manakah yang harus ditutupnya dahulu.

Wen Jiaboa Tiba Untuk Lawatan Kali Kedua Ke Malaysia







SEPANG: Perdana Menteri China Wen Jiabao tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada 3.30 petang, Rabu untuk memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Ketibaan Wen disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Perdana Menteri China itu diiringi delegasi 118 anggota termasuk empat menteri.
Ini merupakan lawatan kedua Wen di Malaysia dengan lawatan pertama ketika menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur pertama dan Sidang Kemuncak Asean-China kesembilan dan Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga yang diadakan di Kuala Lumpur pada 2005.
Lawatan Wen ialah sebagai membalas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China pada 2009 apabila Pelan Tindakan Bersama bagi Kerjasama Strategik Malaysia-China diwujudkan.
Dalam kenyataan pada Selasa, Wisma Putra menyatakan beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman akan dimeterai pada lawatan kali ini dengan kedua-dua pemimpin juga dijadual menghadiri Forum Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-China pada Khamis.-BERNAMA

Koleksi Gambar

Wednesday, April 27, 2011

Guru Berjogging Ditemui Mati





TAIPING: Seorang guru Sekolah Menengah King Edward Taiping yang dilapor hilang selepas keluar berjoging seorang diri di kawasan Bukit Larut, di sini dua hari lepas ditemui mati pada Selasa.
Mayat Abdullah Zubir Ismail, 29, ditemui dalam keadaan terbaring di dalam gaung sedalam 10 meter di kawasan bukit itu dengan kesan kecederaan di kepala oleh pasukan penyelamat pada pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof Diah berkata mayat guru itu dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan dituntut oleh keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Jitra, Kedah.
Siasatan awal mendapati guru berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung. Polis tidak mengesyaki perbuatan jenayah, katanya di sini, Selasa.
Polis menerima laporan mengenai kehilangan guru itu daripada rakannya petang Ahad lepas. Dia dilapor hilang selepas keluar berjoging di Bukit Larut pada pukul 10 pagi dan tidak pulang sehingga pukul 7 petang.
Sementara itu, Ahmad Din Ahmad Zuki, 50, yang membuat laporan mengenai kehilangan rakannya itu, berkata Abdullah memang suka berjoging dan mendaki bukit seorang diri di kawasan Bukit Larut dan ini adalah kali keempat dia berbuat demikian.
Abdullah telah berkahwin dan tinggal di asrama sekolah. Dia mengajar di sekolah Menengah King Edward Taiping sejak dua tahun lepas.
"Semalam (Isnin) sepatutnya dia mengajar...ramai di kalangan guru sekolah tidak mengetahui kehilangannya dan terkejut apabila mendapati dia ditemui mati di kawasan bukit itu hari ini," kata Ahmad Din yang juga seorang guru. -BERNAMA

Saturday, April 23, 2011

Khasiat Buah-Buahan




1.0 PENGENALAN

Ramai orang menganggap buah adalah sesuatu yang membesar selepas bunga layu dan mempunyai biji. Bahagian yang mengelilingi biji ialah buah. Manakala dalam aspek botani pula, buah adalah hasil daripada tumbesaran akhiran bunga angiosperma atau jambak bunga. Definisi atau takrifan ahli botani ini merangkumi buah-buahan berisi yang wujud dari bahagian ovari bunga seperti reseptaker atau daripada penyangga (buah epal, strawberi ), brektia atau daun pelindung dan daun pedunkel (nenas). Walaupun begitu majoriti masyarakat dewasa ini mengenali buah hanya sebagai pembasuh mulut selepas menikmati pelbagai jenis hidangan yang enak.


2.0 BUAH-BUAHAN DAN KHASIATNYA


Disebalik rasanya yang enak, buah-buahan sebenarnya mengandungi khasiat yang tinggi untuk kesihatan. Ia diperkaya dengan zat galian yang mempunyai nilai perubatan dan mampu mengubati pelbagai jenis penyakit. Namun tidak ramai yang menyedari hal ini melainkan masyarakat luar bandar terutamanya golangan tua. Ini kerana masyarakat desa kurang terdedah dengan perubatan moden dan masih lagi kuat mempercayai perubatan tradisional yang diamalkan sejak turun temurun.


2.1 Delima Hilangkan Masalah Cacing


Delima, sejenis buah berasal dari kawasan Mediterranean, banyak digunakan dalam perubatan tradisional untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Kulit buah delima mengandungi asid tannin yang amat berkesan untuk menghapuskan masalah cacing di kalangan kanak-kanak, termasuk cacing gelang, cacing peniti dan cacing kerawit. Selain daripada asid tannin, delima yang dikenali sebagai Punica granatum dari segi saintifik, juga mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, magnesium, vitamin A dan vitamin C. Ia berkesan untuk meredakan cirit-birit yang kronik, termasuk cirit-birit berdarah dan enteritis atau bengkak usus. Di beberapa kawasan di Iran dan di Iraq, air buah delima digunakan sebagai ubat kumur untuk mengatasi masalah penafasan berbau. Buasir merupakan satu lagi penyakit yang boleh dirawati menggunakan buah delima kerana airnya dapat bertindak sebagai astringen. Ia juga dipercayai berkesan untuk mengatasi kemandulan (Rajah 1).


2.2 Kurma Hindar Gangguan Usus


Kurma adalah sejenis buah yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C dan juga niasin. Kurma yang dikenali sebagaiPhoenix dactylifera L. dari segi saintifik amat berkesan bagi mengubati gangguan usus, di mana ketidakserasian dengan gluten, sejenis protein yang terkandung di dalam bijirin menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Ia mengandungi sejenis bahan protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dihasilkan oleh gluten dalam usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan. Bagi mengubati penyakit ini bijinya dibuang kemudian dibersihkan sebelum diadun halus dengan setengah gelas air dan lebih mujarab jika dicampur dengan jus lobak merah. Jus kurma juga berkesan untuk mengatasi masalah batuk. Kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong dan sekali gus menghilangkan batuk. Kurma juga boleh digunakan bagi menggantikan gula atau madu untuk tujuan menghilangkan kesan mabuk dan bertindak sebagai penawar racun. ( Rajah 2 ).


2.3 Pisang Merawat Kudis dan Luka

Pisang atau nama saintifiknya Musa sapientum adalah antara buah-buahan tempatan yang digemari ramai. Ia kaya dengan vitamin A dan C, niasin dan juga zat galian seperti kalsium fosforus dan besi. Pisang juga mengandungi kromium, sejenis bahan yang merangsangkan aktiviti enzim dalam metabolisme glukos yang penting untuk membekalkan tenaga. Dalam perubatan tradisional, getah pisang merupakan ubat yang mujarab untuk menyembuhkan luka. Dengan menyapukan getah pisang pada luka, darah akan berhenti mengalir dan lukanya akan cepat kering. Kudis pula boleh dirawat dengan mudah menggunakan kulit pisang. Selain itu pisang juga digunakan untuk mengatasi masalah sembelit, ulser dan penyakit gastritis atau radang perut (Rajah 3).


2.4 Mangga Penawar Penyakit Hernia


Mangga yang dikenali sebagai Mangifera indica yang berasal dari keluarga Anacardiaceae, digunakan sebagai agen penghilang dahaga untuk mengatasi masalah penyahidratan dalam tubuh serta berkesan untuk menyembuhkan penyakit hernia. Hernia atau burut iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan isi perut turun ke bawah dan kantung kemaluan menjadi bengkak, ulu hati terasa pedih dan sakit setiap kali selepas makan, boleh dirawat dengan mengamalkan pengambilan jus mangga. Minuman itu, yang kaya dengan pelbagai zat galian termasuk vitamin A dan C akan bertindak melancarkan peredaran darah. Memandangkan jus mangga mempunyai kandungan gula yang tinggi, ia kurang sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit diabetis, hipoglisemia dan kandidiasis atau jangkitan kulat (Rajah 4).

2.5 Nanas Penawar Penyakit Batu Karang

Nanas sejenis buah tropika yang dikenali dengan nama saintifiknya Ananas cosomos berasal dari keluarga Bromeliaceae dan mengandungi kandungam gula yang tinggi serta kaya dengan vitamin A, B dan C. Jus nanas merupakan sejenis minuman yang lazat dan baik untuk kesihatan, terutamanya bagi mengatasi kekeringan dibahagian bibir dan kulit muka. Nanas merupakan ramuan penting dalam rawatan tradisional. Ia melancarkan perjalanan haid serta berkesan mengatasi masalah-masalah pencernaan, pundi kencing, cacing dan kelesuan badan. Ia juga merupakan penawar yang penting bagi mengatasi penyakit batu karang. Amalan meminum jus nanas terbukti berkesan untuk mengatasi masalah kencing tidak lawas kerana kandungan enzimnya yang tinggi (Rajah 5).


2.6 Belimbing Merawat Kencing Manis


Belimbing salah satu jenis buahan tropika popular yang enak. Ia boleh dimakan segar ataupun dijadikan jeruk dan dibuat jus. Belimbing ini bagaimanapun ada yang masam, tetapi kedua-duanya dipanggil belimbing besi. Nama sainsnya ialah Averhoa crambola dan sekeluarga dengan oxalidaceae. Belimbing juga mempunyai khasiat perubatan. Pengidap kencing manis dapat menurunkan paras gula dalam darah dan sesuai juga dimakan oleh mereka yang mengidap penyakit tekanan darah tinggi, gingivitis atau radang gusi (Rajah 6).


2.7 Lemon Berkesan Merawat Tonsilitis


Tonsilitis atau penyakit radang tonsil dibahagian kerongkong berpunca daripada serangan kuman bakteria streptokokus. Ia dapat di rawat dengan berkumur menggunakan jus lemon sebelum diminum atau nama saintifiknya Citrus limon. Lemon yang kaya dengan vitamin C serta zat besi, patasium, kalsium dan fosforus berkesan merangsangkan sistem pelalian untuk membunuh kuman streptokokus. Serabut atau bulu-bulu putih yang terdapat di sebelah dalam kulit lemon dan limau-limau sitrus yang lain mengandungi bioflavonoids yang berkhasiat untuk kesihatan. Oleh itu serabut itu perlu dikikis daripada kulit kemudian dicampur dengan isi lemon sebelum dikisar halus. Lemon juga dengan vitamin B kompleksnya juga bertindak membunuh sejenis kuman bakteria dikenali sebagai stafilokokus. Ia turut berkesan untuk menghindarkan penyakit-penyakit kelamin seperti gonorea, sifilis dan klamidia (Rajah 7).


Pala Melegakan Kembung Perut


Pala sejenis buah tempatan yang bernilai tinggi dalam nilai perubatan. Kulit arinya merupakan bahan utama untuk membuat minyak sapu atau apa yang disebut salap bagi melegakan masalah kembung dan senak perut, sakit kepala, selsema, disengat serangga dan lenguh-lenguh sendi. Ia berasal dari keluarga myristicaceae, yang dikenali dengan nama saintifiknya Myristica fragrans juga merupakan penawar untuk menghilangkan rasa loya, pening-pening atau tanda-tanda lain yang berkaitan dengan pitam. Ia juga dikatakan boleh merangsangkan nafsu syahwat. Bijinya pula mengandungi sejenis minyak yang berkhasiat yang boleh digunakan sebagai salah satu ramuan untuk membuat minyak panas bagi mengubati pelbagai jenis penyakit (Rajah 8).


2.9 Pinang dengan Pelbagai khasiat


Tumbuhan ini juga dikenali dengan nama saintifiknya Areca catecu Linn dan berasal dari keluarga Arecaceae. Buah dan biji pinang bernilai tinggi dari segi perubatan. Biji pinang dikunyah bersama-sama daun sirih seperti yang lazimnya diamalkan oleh orang-orang tua sebagai salah satu petua untuk menguatkan gusi serta menghapuskan masalah mulut berbau busuk. Bagaimanapun, amalan memakan terlalu banyak pinang boleh memudaratkan kesihatan. Biji pinang juga mengandungi sejenis bahan yang boleh mencegah barah. Sabutnya pula digunakan oleh masyarakat zaman dulu untuk merawat cirit-birit. Ia juga berkesan untuk mengubati penyakit kulit seperti panau (Rajah 9).


2.10 Pisang Kaki Turunkan Tekanan Darah Tinggi


Pisang kaki sejenis buah yang berkhasiat yang mengandungi vitamin C, glukos, sukros, fruktos dan iodin, bernilai tinggi dari segi perubatan. Ia amat berkhasiat dalam menurunkan tekanan darah tinggi, meningkat pengaliran darah dalam pembuluh darah koronori, mengatasi masalah sembelit dan meredakan sedu. Sungguhpun buah ini disebut pisang dan berwarna kuning tetapi bentuk serta isinya tidak menyerupai pisang-pisang biasa yang lain. Buah yang berbentuk bulat, berisi ranggup dan berbiji ini berasal dari keluarga Ebenacea. . Serbuk putih yang terdapat pada permukaan buah pisang kaki yang kering juga manis rasanya dan mengandungi manitol, glukos dan vitamin C amat baik untuk paru-paru dan jantung (Rajah 10).


2.11 Sengkuang Cina Penawar Bronkitis


Bronkitis ialah sejenis penyakit radang tenggorok, iaitu saluran udara di bahagian kerongkong. Penyakit ini menyebabkan selaput pada cabang tenggorok menjadi merah dan bengkak. Dalam dunia perubatan tradisional, sengkuang cina merupakan penawar bagi melegakan penyakit bronkitis yang kronik. Rasanya manis dan menyejukkan serta elok dimakan bagi meredakan demam, selsema dan batuk. Sengkuang cina berasal dari keluarga Cyperacea dan kaya dengan karbohidrat, lemak, protein, vitamin C, kalsium, fosforus dan zat besi. Ia digunakan dalam perubatan tradisional cina untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Caranya dengan menggunakan tiga biji sengkuang cina dicampur dengan lobak putih yang dimesin halus dengan sedikit air dan madu (Rajah 11).


2.12 Ciku Penawar Buang Air Berdarah


Tabiat mengabaikan pemakanan boleh menimbulkan keadaan-keadaan yang tidak menyenangkan. Masalah sembelit boleh terjadi jika makanan yang dimakan tidak dihadam dengan baik, kurang memakan buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurang meminum air. Keadaan ini jika dibiarkan boleh membawa kesan-kesan yang lebih buruk, antaranya buang air berdarah atau buasir. Satu cara dalam kaedah pengubatan tradisional ialah dengan menggunakan buah ciku. Cara yang lebih berkesan untuk merawat buang air berdarah ialah dengan memakan buah ciku yang belum cukup tua, iaitu dengan menumbuk hingga lumat dan dicampur dengan sedikit air panas dan garam. Seelok-eloknya diamalkan sebelum sarapan pagi (Rajah 12).


2.13 Pelbagai Khasiat Tembikai


Tembikai yang kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan pelbagai jenis galian yang lain adalah bermutu tinggi dalam perubatan. Tembikai dikenali sebagai Citrullus vulgaris amat mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit antaranya sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit. Jus tembikai juga memberi tenaga dan kekuatan dikalangan orang-orang tua serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan. Penyakit artritis, gout serta keracunan uremik berlaku akibat kehadiran asid urik yang berlebihan. Jus tembikai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh. Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana ia dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah (Rajah 13).


2.14 Avokado Hindar Sengal-sengal Tulang dan Sakit Jantung


Avokado dikenali sebagai Persea americana yang berasal dari keluarga Lauraceae merupakan makanan berzat dan amat berkesan bagi mengatasi masalah kekurangan zat makanan dan menambah berat badan khususnya dikalangan kanak-kanak. Ia mengadungi protein, zat besi kalsium, vitamin A, vitamin C, niasin, soldium dan potasium. Berasal dari negara beriklim separuh tropika. Sebiji avokado mengandungi kira-kira 300 kalori dengan 88 peratus daripadanya adalah lemak.
Ia berkesan sebagai pelincir semulajadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul, lutut dan pergelangan kaki seterusnya menghindarkan penyaki lenguh-lenguh tulang. Amalan memakan buah avokado pada setiap hari boleh menurunkan paras kolesterol disamping mengekalkan paras lipoprotein, sejenis kolesterol yang baik untuk mnghindarkan seseorang itu daripada diserang sakit jantung. Ia diamalkan di Brazil, Colombia, Equador dan Peru di Amerika Selatan (Rajah 14).


2.15 Betik Selesaikan Sembelit


Betik adalah daripada spesies Carica papaya dan berasal dari keluarga caricaceae. Buah betik yang masak selain kaya dengan vitamin C, ia berkesan merawat hemoroid atau buasir dan sembelit. Di Ghana ia juga digunakan untuk mengubati ketumbuhan manakala pucuknya boleh mengubati penyakit tekanan darah tinggi. Betik juga boleh digunakan untuk mengubati tumit pecah-pecah yang boleh menyebabkan kaki terasa sakit. Salah satu daripada rawatan tradisional bagi mengubati masalah ini ialah dengan menggunakan buah betik muda yang dibelah dua kemudian diambil getahnya dan sapu dibahagian tumit yang pecah (Rajah 15).


KESIMPULAN


Dengan melihat kepada apa yang telah diperbincangkan, jelas membuktikan kepada kita bahawa, buah-buahan sememangnya mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan. Jadi penyelidikan yang terperinci berkaitan khasiat yang terkandung dalam buah-buahan perlu dipertingkatkan. Ini bukan sahaja penting untuk menyakinkan masyarakat, tetapi juga memandangkan rawatan dengan menggunakan tumbuhan semulajadi termasuk buah-buahan tidak mendatangkan kesan sampingan berbanding rawatan moden yang menggunakan ubatan sintetik yang dihasilkan di dalam makmal.

Thursday, April 21, 2011

Ops Gagak Siber



Lelaki Melayu dikatakan kuat menipu.

Lelaki Melayu didakwa kurang romantik.

Lelaki Melayu kurang penyayang.

Lelaki Melayu ...

Lelaki Melayu ...

dan ...

Lelaki Melayu!

Berikutan pelbagai dakwaan berhubung sikap lelaki Melayu, sebilangan wanita  sebangsa nampaknya beralih arah dalam memilih pasangan.

Mereka lebih gemar bertemankan lelaki warga Nigeria.

Seorang daripada lelaki terbabit diberkas pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, JSJK Bukit Aman pada jam 2.30 petang tadi di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Biarpun tubuhnya agak kecil, 5 anggota polis diperlukan untuk menenangkannya sebelum berjaya ditahan.

Barangkali dia romantik dan penyayang tetapi tidak jujur. Saspek, 22 tahun mendakwa pelajar institusi pengajian tinggi swasta dalam jurusan pemasaran.

Dia kemudian dibawa ke rumah kedai Taman Puncak Desa, Kepong, Selangor.
 
3 kenalan saspek kemudian diberkas pihak polis.


Biar saya kongsikan bersama pembaca kegiatan sebenar mereka. Sebaik memasuki rumah pada jam 3.30 petang, saya dimaklumkan mereka sedang berborak, chatting menggunakan Yahoo Messenger dan Facebook. 


Lihat gambar skrin komputer di bawah. Saspek menggunakan ikon wanita berpakaian seksi sedangkan dia lelaki. 


Lihat tubuh sasa menggambarkan kelakian mereka.


Mereka dipercayai melakukan pishing, memancing sekaligus menjaja cinta  dan pujuk rayu kepada lelaki dan wanita tempatan dan asing. 

Ya, mereka sweet talker, penyayang dan didakwa tidak seperti sebilangan lelaki Melayu. Mengapa? Kerana mereka hanya ingin menjadikan wanita sebagai mangsa kepada Nigerian scam.

Tidak lebih daripada itu.

Modus operandi kumpulan, lebih kurang sama. Taburkan wanita dengan kata-kata mampu mengusik jiwa rapuh mereka.


Jika kata-kata terbabit tidak mampu menggamit perhatian bakal mangsa, gunakan buku panduan 'Love text messages' sebagai rujukan sebelum berkomunikasi di dunia siber.


'I asked God for a rose and He gave me a garden. I asked God for a drop of water and He gave me an ocean. I asked God for an angel and He gave me you!'

Pasti ramai wanita 'cair' membaca mesej sebegitu di skrin komputer mereka.

Masih tidak menyakinkan bakal mangsa? Hantarkan kepada mereka gambar wang dipercayai palsu untuk menunjukkan saspek bukan calang-calang kekasih. Mereka lelaki berada dan hidup mewah. 


Majoriti mereka mendakwa menetap di luar negara, antaranya di United Kingdom dan Amerika Syarikat, sedangkan mereka menggunakan sistem komunikasi internet tempatan.


Berikut dipercayai senarai emel, bakal mangsa mereka.


Dilaporkan pada tahun 2010, rakyat negara ini kerugian lebih 100 juta ringgit akibat diperdaya warga Nigeria.

"Bila dah dapat sasaran mereka akan meminta saspek pertama diberkas tadi untuk mencariaccount holder, lelaki atau wanita tempatan. Pelbagai modus operandi mereka gunakan. Antaranya, cakap mereka dah tiba di lapangan terbang antarabangsa, KLIA ke atau Pulau Pinang dan kononnya ditahan pihak kastam kerana membawa barang berharga atau wang tunai berjuta Euro. Untuk menambahkan keyakinan mangsa, sebilangan kes sebelum ini menunjukkan mereka mendapatkan kerjasama warga tempatan untuk pengesahan berhubung masalah didepani saspek," ujar ASP Hazri.


ASP Hazri Mohamad, Pegawai Risikan, JSJK Bukit Aman mengetui serbuan dibantu 7 anggota. 

"Lepas itu?," soal saya.

"Warga tempatan bersekongkol itu akan menelefon mangsa dan mengatakan dia harus mendepositkan sejumlah wang ke akaun milik account holder untuk menyelesaikan masalah itu," sambung ASP Hazri. 

Kerana sayang dan atas dasar cinta dan kepecayaan berikutan 'perhubungan' selama ini terjalin bersama saspek, mangsa lazimnya bersetuju mendepositkan wang diperlukan. Sebilangan mangsa dilaporkan kerugian di antara 400 dan 500 ribu ringgit. 

Wang terbabit kemudian dikeluarkan saspek dan sejumlah kecil, upah diberikan kepadaaccount holder. 

Tiga saspek dibawa ke JSJK Bukit Aman untuk siasatan terperinci.


Manakala saspek pertama membawa pasukan sama dan kru 999 ke rumahnya di Banar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

"For love people are willing to do so many things," ujarnya.


Setelah membaca pendedahan bakal disiarkan di 999 minggu hadapan, saya berharap tiada lagi khususnya wanita dan lelaki Melayu terjebak sekaligus terpedaya dengan tipu helah warga Nigeria bermastautin di negara kita.

Diakui, majoriti mereka terbabit dalam sindiket penipuan ini bersikap romantik,  bijak menanam tebu di bibir mulut, kelihatan dan kedengaran amat penyayang tetapi di sebalik sikap terbabit tersirat niat membawa bahana.

Diceritakan kepada saya, dalam kes sebelum ini, wanita Melayu berasal dari Negeri Sembilan bersekedudukan bersama warga Nigeria dan berikutan itu wanita sama melahirkan anak.

Anak mereka berambut kerinting, berkulit gelap dan petah berkomunikasi dalam loghat Negeri Sembilan.

"Omak, mengapo rambut den berbezo bonar dengan rambut orang lain?"

Barangkali begitu soalannya.

Ha! Jawablah ...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...