3,000 pengikut Syiah di Kedah golongan profesional
Ahli Syiah di Kedah bergambar kenangan ketika sambutan Maulidur Rasul 2011 lalu.














PENDANG – Kira-kira 3,000 pengikut fahaman Syiah Imammiah di Kedah yang telah dikenal pasti
kebanyakan terdiri daripada golongan profesional.'

Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan berkata, semua pengikut fahaman itu dari Jitra, Pendang, Sungai Petani, Alor Setar dan beberapa kawasan berhampiran.

Katanya, 30 peratus daripada jumlah pengikut fahaman Syiah adalah wanita berumur antara 20-an
hingga 50-an.

“Kebanyakan pengikut Syiah bukan penduduk kampung biasa malah daripada golongan profesional antaranya guru, pensyarah dan ahli akademik.

“Di Pusat Hussainiah Az-Zahra merupakan tempat berkumpul untuk aktiviti pengajian dan ibadat yang masih
aktif sejak 1991 sehingga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Alor Berala
Tobiar, Pendang semalam.

Abdullah berkata, lebih 200 pengikut akan berkumpul setiap kali mengadakan majlis secara besar-besaran
di situ.

“Kira-kira 80 ahli Syiah akan hadir mengikuti pengajian diadakan waktu siang bagi mengikuti pengajian
kitab-kitab Syiah seperti Tafsir, Tauhid, Akhlak, Sirah dan sebagainya mengikut fahaman Syiah.

“Tempat ini dibina khusus sebagai tempat pembelajaran dan ibadat khusus untuk ahli-ahli Syiah sahaja,”
katanya.

Katanya, ahli Syiah terdiri daripada ahli Umno dan Pas yang tidak mahu lagi aktif dalam parti politik masing-masing sehingga ada segelintir pengikut fahaman itu tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu
 kerana kecewa apabila banyak pihak menentang fahaman Syiah.