widget

Thursday, April 28, 2011

Bekas Cikgu Tumbuk, Sepak Guru Besar Didenda


NORAZMAN ketika hadir ke Mahkamah Majistret Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang bekas guru lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah menumbuk dan menyepak seorang guru besar sehingga cedera empat tahun lalu.
Majistret Nor Azah Idris turut memerintahkan Norazman Abdul Wahab, 43, dari Jalan Datuk Kumbar di sini dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Norazman yang merupakan bapa kepada empat orang anak didapati dengan sengaja melakukan perbuatan itu terhadap Halim Saad, 52, di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis, Jalan Langgar di sini pada pukul 8.30 pagi 20 Disember 2006.
Mangsa ditumbuk di muka dan disepak di paha oleh tertuduh sehingga terjatuh.
Norazman dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Norazman yang memakai baju kemeja warna hitam merayu agar hukuman ringan dikenakan kerana dia tidak mempunyai pendapatan selepas tidak bekerja sebagai guru sejak tiga tahun lalu selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak.
“Saya mohon dikurangkan hukuman kerana dua anak saya masih belajar di universiti sementara dua lagi bersekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...