widget

Sunday, March 20, 2011

Rahsia Pati Minyak Wangi




PATI ekstrak pertama minyak wangi sebenarnya berbau busuk. Mungkin ada yang tidak percaya dengan pernyataan itu. Namun, hakikatnya bau pati tersebut memang kurang enak hinggakan ia boleh menyebabkan sesiapapun pening atau muntah jika menghidunya.
Industri penghasilan minyak wangi sehingga kini masih dikuasai negara-negara pengeluar dan pengasas awal bauan pesona dunia. Sejak ratusan tahun lalu, Perancis, Itali, Mesir dan India antara negara yang terkenal dengan minyak wangi.
Dengan perkembangan teknologi, minyak wangi turut mengalami evolusi dan penguasaan penghasilan wangian jenama terkenal dunia kini telah dikuasai seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Jepun dan banyak negara lain di serata Eropah serta Asia.
Namun, ramuan haruman yang menjadi kesukaan dunia itu masih rahsia.
Selepas menjalani beberapa kali saringan dan proses campuran yang tepat, pati ekstrak yang kurang enak baunya itu menjadi lebih wangi dan sedap dihidup. Bahkan, ia mampu membuatkan si pemakai berasa lebih yakin diri dan mampu menjadi terapi kesihatan yang baik.
Pengarah Projek Couple Perfume Enterprise, Fawzee Yahya, 34, menjelaskan, minyak wangi sebenarnya berasal dari Mesir dan bukan dari negara Perancis.
“Di Mesir pada masa itu, minyak wangi digunakan untuk pelbagai keperluan ritual seperti kelahiran anak sehingga kepada majlis kematian.
“Bahan yang digunakan ialah dupa (kemenyan) dan kayu manis dibuat sebagai bahan asas yang diolah dengan cara digiling, diparut dan ditumbuk,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur.
Proses pembuatan minyak wangi kemudiannya berkembang maju melalui proses secara teknologi terkini iaitu wap air yang melalui proses penyulingan.
Hasil penyulingan itu kemudian diolah menjadi pelbagai jenis campuran pati minyak wangi. Ia kemudiannya dicampurkan dengan alkohol pada jumlah yang sesuai.
Pengasas minyak wangi Inspire Parfum, Zuliano Umberto Ligartti menjelaskan, minyak wangi terbahagi kepada dua iaitu minyak wangi daripada bahan semula jadi dan sintetik.
SEBELUM dipasarkan minyak wangi perlu melalui beberapa proses adunan kimia.


Ketika ditemui di kios perniagaan beliau di pasar raya Alamanda, Putrajaya, beliau mendedahkan, minyak wangi semula jadi kebiasaan diperbuat daripada bahan-bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti bunga, herba atau buah-buahan dan haiwan manakala minyak wangi sintetik pula dibuat daripada bahan-bahan kimia.
Penyediaan minyak wangi pada asasnya melalui tiga cara iaitu penyulingan, diekstrak dan rendaman di dalam air.
Setiap minyak yang dihasilkan mengandungi bahan ramuannya tersendiri dan seterusnya akan diproses melalui penyulingan, penghasilan ekstrak dan rendaman.
Ketajaman bau
Selepas proses asas itu dilakukan, pati awal minyak wangi perlu menjalani beberapa lagi rutin adunan kimia bagi menimbulkan lagi ketajaman baunya sebelum dipasarkan kepada pengguna.
Zuliano atau lebih dikenali dengan nama Zulkifli Tajuddin, 52, memberitahu, sekitar 1,126 jenis minyak wangi yang dikenali di dunia sebenarnya mempunyai tiga piramid atau tahap adunan bau (notes) yang tersendiri sejurus ia disembur.
“Ia disebut bauan pertama atau asas, bauan kedua atau tengah dan bauan ketiga atau terakhir yang merupakan bau sebenar sesuatu minyak wangi. Perkara ini jarang diketahui oleh mereka yang menggemari minyak wangi.
“Kalau kita mahu memilih minyak wangi yang sesuai saya cadangkan anda bersabar dan mengambil masa untuk memilih sesuatu jenis minyak wangi yang ditinjau.
“Jangan percaya pada bau pertama ketika disembur ke tangan. Tunggu sehingga kira-kira setengah jam untuk mendapatkan bau notes ketiga terhasil. Selepas itu baru anda membuat keputusan,” katanya sambil mendemonstrasikan minyak wangi keluaran syarikatnya berjenama Inspire Parfum.
Ukuran gred
Penggunaan alkohol atau nama saintifiknya dikenali sebagai metanol yang digunakan dalam minyak wangi diharuskan oleh agama Islam. Malah perkara ini telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengurus syarikat Al-Habib (M) Sdn. Bhd. yang menjalankan bisnes mengeksport, mengimport, memborong dan meruncit minyak wangi sejak lapan tahun lalu, Shahzad Abdullah, 42, berkata, pati minyak wangi terdapat dalam beberapa gred yang diukur melalui ketahanannya dan bukan melalui haruman.
Pati minyak wangi gred A, B, C, dan D mempunyai haruman yang sama.
“Pati minyak wangi gred A boleh bertahan lebih daripada 12 jam jika terkena pada kulit. Jika digunakan pada pakaian ia mampu bertahan selama dua atau tiga hari.
Pengusaha jenama haruman Couple Perfumes (dari kiri) Azhar Hamzah, Ebby Yus dan Fawzee Yahya bersama produk haruman Inspirasi.


“Bagi minyak wangi gred B pula baunya boleh bertahan selama lapan jam jika disapu pada kulit dan pakaian ia mampu bertahan selama dua hari,” katanya yang mengusahakan penjualan minyak wangi tanpa alkohol sebaliknya dicampur dengan minyak putih.
Selain itu katanya, minyak wangi gred C boleh bertahan selama dua jam jika dipakai pada kulit dan empat jam pada pakaian.
Minyak wangi gred D pula hanya mampu bertahan selama setengah jam jika disapu pada kulit dan satu jam jika disembur pada pakaian.
Sementara itu, Fawzee yang mengusahakan perniagaan minyak wangi yang diinspirasikan daripada jenama terkenal antarabangsa sejak empat bulan lalu menjelaskan, minyak wangi secara umumnya dikelaskan kepada Eau de Cologne (EdC), Eau de Toilette (EdT), Eau de Parfum (EdP) atau Parfum de Toilette (PdT), Esprit de Parfum (EsdP) dan de Parfum.
“Secara umumnya, EdC mengandungi lapan peratus pati minyak wangi dan selebihnya adalah alkohol. EdT mengandungi 15 peratus pati minyak wangi diikuti dengan EdP atau PdT yang mengandungi 20 peratus pati.
“Untuk ESdP ia mengandungi 30 peratus pati minyak wangi dengan 70 peratus bahan lainnya adalah alkohol manakala bagi de Parfum ia mengandungi 40 peratus pati minyak wangi sahaja dan 60 peratus alkohol,” katanya.
Merubah persepsi
Seorang pelakon dan pelawak popular, Ebby Yus, 42, berkata, minyak wangi telah menjadi kegemarannya sejak di bangku sekolah. Sehingga kini, minyak wangi bagi Ebby Yus menjadi sesuatu yang wajib dipakai pada diri setiap masa.
“Dengan memakai minyak wangi saya percaya ia mampu memperbaiki persepsi negatif terhadap kita. Dalam erti kata lain, walaupun wajah kita kurang cantik atau tidak kacak tetapi apabila memakai minyak wangi yang sesuai ia mampu membuatkan orang yang berada berhampiran kita tertarik.
“Misalnya seseorang lelaki yang tidak kacak dan tiada teman wanita dan memakai minyak wangi kemungkinan boleh menarik wanita mendampinginya,” kata Ebby Yus tersenyum mencerita pengalaman dirinya.
MESIR antara negara yang terkenal dengan industri minyak wangi.


Sementara itu, pakar perunding psikologi dan psikiatri, Unit Perubatan Tingkah laku-Saraf Kedah Medical Centre, di Alor Star, Kedah Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud berkata, wangi-wangian mampu meredakan tekanan.
“Wangi-wangian yang dihasilkan daripada minyak wangi dan bahan beraroma mampu membuatkan seseorang terkesan dari segi psikologi dalam erti kata melegakan tekanan atau stres ringan.
“Namun, jika seseorang itu mengalami tekanan sehingga menyebabkan kemurungan ia tidak akan berkesan lagi dan perlukan rawatan perubatan segera dilakukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Jelasnya, bau aroma minyak wangi tidak mampu menyembuhkan penyakit secara terus tapi ia membantu seseorang individu dan mereka di sekelilingnya berasa senang dan tenang seperti kita melihat lautan biru yang luas terbentang.

Kegilaan Pengguna Terkini





SEJAK akhir-akhir ini, dunia pengkomputeran bagaikan sedang ‘berperang’ apabila satu persatu model tablet diperkenalkan kepada khalayak umum.
Jenama tablet diperkenalkan pula bukan calang-calang pembuatannya kerana setiap produk dibangunkan syarikat-syarikat gergasi dunia yang mempunyai peminat tersendiri.
Trend pembangunan tablet yang semakin kecil, nipis dan dilengkapi pelbagai ciri terkini serta canggih menjadi rencah spesifikasi gajet terbaru itu untuk menarik perhatian lebih ramai pembeli.
Bagaimanapun, antara tablet yang menjadi sebutan dan perhatian penggemar peranti berprestasi tinggi di seluruh dunia adalah Apple iPad 2, Motorola Xoom, Blackberry Playbook, HTC Flyer, Samsung Galaxy Tab 10.1 serta HP Palm Touchpad.
Apple iPad 2
Kesungguhan Ketua Eksekutif Apple Inc., Steve Jobs, 56, yang sedang bercuti sakit jelas terpancar pada wajahnya apabila sanggup membuat penampilan istimewa di Teater Seni Pusat Yerba Buena, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk menghadiahkan pengikutnya dengan generasi kedua iPad.
Kemunculan Jobs sudah pasti mengejutkan ramai pihak apatah lagi dia sendiri memberi penerangan fungsi dan teknikal mengenai tablet terbaru tersebut.
Jobs berkata, Apple sudah menghasilkan model iPad terbaru itu sejak sekian lama.
Meskipun masih menerima rawatan penyakitnya, dia tidak mahu ketinggalan bermegah dalam rangka promosi gajet terbaru itu.
“Kebanyakan tablet belum dapat menandingi iPad generasi pertama tetapi kami tidak mahu berehat lama dengan kejayaan itu. Jadi kami membawakan iPad 2,” katanya.
RIBUAN warga New York sanggup beratur panjang dalam cuaca sejuk demi membeli iPad 2 minggu lalu.


Ciri iPad 2 menampilkan reka bentuk yang lebih nipis dan ringan berbanding telefon pintar iPhone 4. Ia turut dilengkapi kamera hadapan dan belakang bagi membolehkan pengguna berbual menerusi video bersama keluarga serta rakan dengan lebih mudah.
Dalam pada itu, prestasi iPad 2 juga lebih pantas berbanding iPad generasi pertama kerana dilengkapi cip A5. Lebih menarik, peranti terbaru itu memaparkan kualiti grafik yang jauh lebih hebat.
Ia turut menawarkan iMovie membolehkan pengguna menyunting video dengan pantas dan berkesan. Aplikasi lain yang terdapat pada iPad 2 termasuk GarageBand dan Hot Spot yang membolehkan gajet itu mengakses Internet menerusi talian tanpa wayar ke iPhone melalui hubungan telekomunikasi.
Jobs menambah, iPad 2 dijual dalam lingkungan harga AS$499 (RM1,547) sehingga AS$829 (RM2,570) sama seperti keluaran versi pertama.
iPad 2 diedar ke seluruh Amerika Syarikat pada 11 Mac lalu, manakala bagi Jepun, Perancis dan Jerman pula akan diedarkan pada 25 dan 26 Mac.
Apple Inc. telah menjual hampir 15 juta unit iPad generasi pertama di antara April hingga Disember dan mengaut keuntungan hampir AS$10 juta (RM31 juta).
Motorola Xoom
Walaupun iPad 2 dilaporkan popular dalam pasaran, Motorola Mobility Inc. tidak mahu ketinggalan melancarkan sebuah tablet terbaru yang diberi nama Xoom.
Motorola Xoom menampilkan skrin definisi tinggi (HD) bersaiz 25 sentimeter untuk memberi kepuasan paparan kepada pengguna. Ia turut menampilkan kamera di bahagian depan bagi kegunaan perbualan video dan kamera dengan resolusi lima megapiksel yang mampu merakamkan video dalam bentuk HD.
Xoom turut mampu menampung kandungan video Flash – sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh iPad keluaran Apple Inc. dan boleh bertindak sebagai kawasan tumpuan Wi-Fi bagi menghubungkan lima lagi gajet lain kepada Internet.
PARA pemilik iPad 2 teruja lantaran berpuas hati dengan fungsi dan pilihan aplikasi peranti nipis tersebut.


Sebagai nilai tambah, Motorola Xoom turut dilengkapi Honeycomb iaitu satu versi Android yang telah direka untuk skrin sesentuh lebih besar pada tablet.
Versi terbaru Android itu sangat berguna bagi telefon pintar yang mempunyai skrin sesentuh yang kecil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sanjay Jha berkata, Honeycomb turut mengandungi versi YouTube yang direka semula dan berupaya untuk membuat panggilan video menggunakan Google Talk.
Ciri-ciri lain yang ditawarkan tablet itu termasuklah gyroscope terbina dalam, barometer, e-kompas, akselerometer dan beberapa aplikasi perkhidmatan lain.
BlackBerry Playbook
Bagi penggemar telefon pintar BlackBerry pula, mereka tentu sekali akan menanti kemunculan tablet keluaran Research in Motion (RIM).
Tablet Playbook yang disasarkan kepada pengguna perniagaan yang mahukan komunikasi selamat dijangka mampu memberi persaingan dalam segmen tablet antarabangsa.
“Ini adalah komputer tablet profesional yang pertama di dunia.
“Anda akan melalui pengalaman penuh ketika melayari laman web,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Bersama RIM, Mike Lazaridis ketika mempamerkan peralatan tersebut di San Francisco baru-baru ini.
Playbook adalah satu daripada sejumlah komputer tablet yang akan dikeluarkan dalam usaha mengatasi iPad dan merupakan cubaan pertama di luar modul telefon bimbit untuk syarikat RIM.
Ia mempunyai skrin sesentuh berukuran 17.8 sentimeter, lebih kecil berbanding iPad yang bersaiz 25 sentimeter dan menggunakan perisian video Adobe Flash.
Keistimewaan tablet terbaru ini adalah pengguna BlackBerry boleh menyambung telefon pintar mereka dengan Playbook menggunakan Bluetooth untuk melihat e-mel, kalendar, dokumen atau kandungan lain.
Ia juga dilengkapi kamera di bahagian hadapan dan belakang bagi menyokong sidang video serta membolehkan penggunaan beberapa program serentak.
SESI persidangan video menggunakan Motorola Xoom.


HTC Flyer
HTC yang terkenal dengan inovasi dan pembangunan dalam bidang telekomunikasi turut memperkenalkan tablet sulungnya iaitu HTC Flyer.
Dengan menggunakan pendekatan intuitif dan inovatif, HTC Flyer turut menampilkan aplikasi terbaru HTC Watch.
Ia berfungsi sebagai perkhidmatan video untuk memberi keselesaan kepada pengguna berkomunikasi bersama keluarga dan rakan-rakan dengan lebih mudah.
Dalam pada itu, HTC juga akan berkolaborasi bersama OnLive, Inc. dengan melancarkan perkhidmatan permainan video pertama dalam platform tablet.
“Jelas sekali telefon pintar telah mengubah kehidupan kita. Jadi kami ingin menghasilkan sebuah tablet yang mampu memberi pengalaman seumpama telefon pintar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, HTC Corporation, Peter Chou.
Kini penggemar peranti berprestasi tinggi hanya perlu membuat pilihan tepat dalam pembelian tablet mereka.

Saturday, March 19, 2011

18hb Mac 2011 : Cuti Sekolah Dah Habis

Hari ini pukul 3.00 ptg, aku sekeluarga telah ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu. 2 orang anak aku kena kembali semula ke asrama penuh petang ini. Cuti penggal pertama selama satu minggu dah tamat.

Hujan lebat hari ini. Sebelum ke sekolah ereka, kami terlebih dahulu pergi ke kenduri di rumah Bang Halim Asun di Taman Suria. Kenduri Aqiqah cucu sulung dia. makan kambing, best sangat2.

Selepas tu kami sekeluarga ke majlis jenduri kahwin di Kg. Kubang Betong pula iaiitu di rumah Mat khir ( Sepupu Zaleha ). Hujan lebat sangat- sangat semasa kami sampai. Cuma makan bubur kacang sebab dah terlalu kenyang kambing.

Friday, March 18, 2011

17hb. Mac 2011 : Ada 5 Kenduri Kahwin





Kelmarin 17hb. Mac 2011 telah mencatit rekod peribadi aku kerana telah pergi kesemua makan kenduri di empat buah rumah dan satu jamuan.

Pukul 1.00 tgh, aku bersama din kakcik serta wan an mula-mula pergi makan kenduri di rumah Ishak Kg. Kubang Betong. Lauk boleh tahan juga.

Pukul 2.00 ptg, kami berangkat pula ke rumah Lit Tok Abas di Kg. Telok. Lauk daging lagi tapi best juga sebba daging lembut. Makan banyak juga.

Pukul 4.00 ptg terus ke rumah Mi polis di Kg. Padang, Jitra. Kami pi 4 buah kereta. Kat situ aku makan laksa dengan teh tarik.

Pulul 5.30 ptg kami bergerak pula makan kenduri di Mergong, Alor Setar di rumah kak Teh. Makan lagi sebab nak cuba pajri nenas tapi tak kow dah sebab lauk petang. Tapi yang sedap lagi tu air bandung dengan kiambang.

Pukul 8.00 malam makan lagi passembor di restoren Mee Kamal Anak Bukit lepas singgah di rumah wan an.

balik rumah kul 9.30 mlm. Lepas solat Isyak terus tido. Tido awal malam ni kul 10 malam.

Tuesday, March 15, 2011

Bulan Semakin Hampir Ke Bumi



Hari Sabtu ini 19 Mac bersamaan malam 15 Rabiul Akhir 1432H para sanitis melaporkan satelit bumi iaitu bulan akan berada paling hampir dengan bumi sejak 18 tahun lalu.

Lazimnya jarak bulan dengan bumi adalah sejauh 406,300km tetapi pada hari berkenaan jaraknya semakin hampir kira-kira 356,700km iaitu 49,600km lebih hampir dari hari-hari biasa. Kerana itu pada hari Sabtu nanti bulan akan kelihatan lebih besar dan lebih terang bercahaya berbanding hari-hari lain.


Fenomena ini menarik dan sudah pasti membuktikan kepada mereka yang beriman betapa hebat dan besarnya kuasa Allah swt.

Menurut akhbar The Star: http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2011/3/15/nation/8270079&sec=nation terdapat laporan “online” yang mendakwa bahawa fenomena ini akan turut mengundang malapetaka dengan ribut taufan, gempa bumi, letupan gunung berapi dan berbagai lagi kejadian alam yang bakal meranapkan bumi.

Sudah pastilah dengan kejadian gempa dan tsunami di Jepun Jumaat lalu ramai yang akan panik dan bimbang dengan dakwaan ini.

Namun menurut Prof Dr Chong Hon Yew pakar astronomi dari USM tiada bukti saintifik yang memungkinkan kita semua perlu panik.

Disaat begini elok sangatlah kita merenung firman Allah swt di dalam al Quran surah az Zumar:38 makusdnya:
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakkal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu, Subhanallah.

Sunday, March 13, 2011

Tanda Awal Tsunami Yang Tidak Disedari




Satu kejadian anih telah berlaku dipantai Acapulco, Mexico beberapa hari sebelum ini...

Orang ramai yg datang ke pantai itu merasa agak hairan dan mereka berebut rebut menangkap ikan dengan tangan yg terlalu banyak menghampiri tepi pantai.

Ribuan ikan sardin, ikan-ikan bilis dan anak anak ikan tenggiri berkumpulan merapati sepanjang pantai tempat peranginan Mexico itu. Baru kini orang orang yg hadir itu berfikir dan mempercayai bahawa apa yg menjadi adalah berkait dengan tsunami yg melanda Jepun kelmarin. 

hanya menangkap dengahn menggunakan tangan

Nelayan-nelayan amat gembira dan sebuk dengan motorbot-motorbot kayu nya, meninggalkan jaring-jaring yg mereka guna dan mereka hanya mengaut ikan ikan dengan baldi sahaja.

kawan ikan yg terlalu banyak kelihatan hitam macam minyak tumpah

Beberapa pakar percaya fenomena secara langsung adalah berkaitan dengan tsunami yg berlaku diJepun. Nelayan-nelayan menyifatkan fenomena pelik ini dan arus luar biasa mempunyai kaitan kejadian tsunami yang meranapkan sebahagian dari Negara Jepun. Nelayan-nelayan di Acapulco mengatakan mereka tidak pernah melihat kawan ikan yg sebegini banyak berada berhampiran gigi air dimana mana pantai sekali pun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...