widget

Sunday, March 20, 2011

Kegilaan Pengguna Terkini





SEJAK akhir-akhir ini, dunia pengkomputeran bagaikan sedang ‘berperang’ apabila satu persatu model tablet diperkenalkan kepada khalayak umum.
Jenama tablet diperkenalkan pula bukan calang-calang pembuatannya kerana setiap produk dibangunkan syarikat-syarikat gergasi dunia yang mempunyai peminat tersendiri.
Trend pembangunan tablet yang semakin kecil, nipis dan dilengkapi pelbagai ciri terkini serta canggih menjadi rencah spesifikasi gajet terbaru itu untuk menarik perhatian lebih ramai pembeli.
Bagaimanapun, antara tablet yang menjadi sebutan dan perhatian penggemar peranti berprestasi tinggi di seluruh dunia adalah Apple iPad 2, Motorola Xoom, Blackberry Playbook, HTC Flyer, Samsung Galaxy Tab 10.1 serta HP Palm Touchpad.
Apple iPad 2
Kesungguhan Ketua Eksekutif Apple Inc., Steve Jobs, 56, yang sedang bercuti sakit jelas terpancar pada wajahnya apabila sanggup membuat penampilan istimewa di Teater Seni Pusat Yerba Buena, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk menghadiahkan pengikutnya dengan generasi kedua iPad.
Kemunculan Jobs sudah pasti mengejutkan ramai pihak apatah lagi dia sendiri memberi penerangan fungsi dan teknikal mengenai tablet terbaru tersebut.
Jobs berkata, Apple sudah menghasilkan model iPad terbaru itu sejak sekian lama.
Meskipun masih menerima rawatan penyakitnya, dia tidak mahu ketinggalan bermegah dalam rangka promosi gajet terbaru itu.
“Kebanyakan tablet belum dapat menandingi iPad generasi pertama tetapi kami tidak mahu berehat lama dengan kejayaan itu. Jadi kami membawakan iPad 2,” katanya.
RIBUAN warga New York sanggup beratur panjang dalam cuaca sejuk demi membeli iPad 2 minggu lalu.


Ciri iPad 2 menampilkan reka bentuk yang lebih nipis dan ringan berbanding telefon pintar iPhone 4. Ia turut dilengkapi kamera hadapan dan belakang bagi membolehkan pengguna berbual menerusi video bersama keluarga serta rakan dengan lebih mudah.
Dalam pada itu, prestasi iPad 2 juga lebih pantas berbanding iPad generasi pertama kerana dilengkapi cip A5. Lebih menarik, peranti terbaru itu memaparkan kualiti grafik yang jauh lebih hebat.
Ia turut menawarkan iMovie membolehkan pengguna menyunting video dengan pantas dan berkesan. Aplikasi lain yang terdapat pada iPad 2 termasuk GarageBand dan Hot Spot yang membolehkan gajet itu mengakses Internet menerusi talian tanpa wayar ke iPhone melalui hubungan telekomunikasi.
Jobs menambah, iPad 2 dijual dalam lingkungan harga AS$499 (RM1,547) sehingga AS$829 (RM2,570) sama seperti keluaran versi pertama.
iPad 2 diedar ke seluruh Amerika Syarikat pada 11 Mac lalu, manakala bagi Jepun, Perancis dan Jerman pula akan diedarkan pada 25 dan 26 Mac.
Apple Inc. telah menjual hampir 15 juta unit iPad generasi pertama di antara April hingga Disember dan mengaut keuntungan hampir AS$10 juta (RM31 juta).
Motorola Xoom
Walaupun iPad 2 dilaporkan popular dalam pasaran, Motorola Mobility Inc. tidak mahu ketinggalan melancarkan sebuah tablet terbaru yang diberi nama Xoom.
Motorola Xoom menampilkan skrin definisi tinggi (HD) bersaiz 25 sentimeter untuk memberi kepuasan paparan kepada pengguna. Ia turut menampilkan kamera di bahagian depan bagi kegunaan perbualan video dan kamera dengan resolusi lima megapiksel yang mampu merakamkan video dalam bentuk HD.
Xoom turut mampu menampung kandungan video Flash – sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh iPad keluaran Apple Inc. dan boleh bertindak sebagai kawasan tumpuan Wi-Fi bagi menghubungkan lima lagi gajet lain kepada Internet.
PARA pemilik iPad 2 teruja lantaran berpuas hati dengan fungsi dan pilihan aplikasi peranti nipis tersebut.


Sebagai nilai tambah, Motorola Xoom turut dilengkapi Honeycomb iaitu satu versi Android yang telah direka untuk skrin sesentuh lebih besar pada tablet.
Versi terbaru Android itu sangat berguna bagi telefon pintar yang mempunyai skrin sesentuh yang kecil.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sanjay Jha berkata, Honeycomb turut mengandungi versi YouTube yang direka semula dan berupaya untuk membuat panggilan video menggunakan Google Talk.
Ciri-ciri lain yang ditawarkan tablet itu termasuklah gyroscope terbina dalam, barometer, e-kompas, akselerometer dan beberapa aplikasi perkhidmatan lain.
BlackBerry Playbook
Bagi penggemar telefon pintar BlackBerry pula, mereka tentu sekali akan menanti kemunculan tablet keluaran Research in Motion (RIM).
Tablet Playbook yang disasarkan kepada pengguna perniagaan yang mahukan komunikasi selamat dijangka mampu memberi persaingan dalam segmen tablet antarabangsa.
“Ini adalah komputer tablet profesional yang pertama di dunia.
“Anda akan melalui pengalaman penuh ketika melayari laman web,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Bersama RIM, Mike Lazaridis ketika mempamerkan peralatan tersebut di San Francisco baru-baru ini.
Playbook adalah satu daripada sejumlah komputer tablet yang akan dikeluarkan dalam usaha mengatasi iPad dan merupakan cubaan pertama di luar modul telefon bimbit untuk syarikat RIM.
Ia mempunyai skrin sesentuh berukuran 17.8 sentimeter, lebih kecil berbanding iPad yang bersaiz 25 sentimeter dan menggunakan perisian video Adobe Flash.
Keistimewaan tablet terbaru ini adalah pengguna BlackBerry boleh menyambung telefon pintar mereka dengan Playbook menggunakan Bluetooth untuk melihat e-mel, kalendar, dokumen atau kandungan lain.
Ia juga dilengkapi kamera di bahagian hadapan dan belakang bagi menyokong sidang video serta membolehkan penggunaan beberapa program serentak.
SESI persidangan video menggunakan Motorola Xoom.


HTC Flyer
HTC yang terkenal dengan inovasi dan pembangunan dalam bidang telekomunikasi turut memperkenalkan tablet sulungnya iaitu HTC Flyer.
Dengan menggunakan pendekatan intuitif dan inovatif, HTC Flyer turut menampilkan aplikasi terbaru HTC Watch.
Ia berfungsi sebagai perkhidmatan video untuk memberi keselesaan kepada pengguna berkomunikasi bersama keluarga dan rakan-rakan dengan lebih mudah.
Dalam pada itu, HTC juga akan berkolaborasi bersama OnLive, Inc. dengan melancarkan perkhidmatan permainan video pertama dalam platform tablet.
“Jelas sekali telefon pintar telah mengubah kehidupan kita. Jadi kami ingin menghasilkan sebuah tablet yang mampu memberi pengalaman seumpama telefon pintar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, HTC Corporation, Peter Chou.
Kini penggemar peranti berprestasi tinggi hanya perlu membuat pilihan tepat dalam pembelian tablet mereka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...