Sunday, May 15, 2011

Hebatnya SY


GAMBAR keluarga Salih Yaacob bersama ketiga-tiga isterinya (dari kiri) Norlizah, Norraha dan Norfara Wahida bersama lapan daripada sebelas anak-anaknya.


ADA yang tersenyum sumbing apabila penyampai radio popular, Salih Yaacob diberitakan bakal mencukupkan kuota empat orang isteri. Ia sekali gus menjadikan perkahwinan yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat sebagai perkahwinan kelima dalam hidup Salih.
Lebih dikenali dengan panggilan SY, Salih kini hidup berpoligami dengan tiga orang isteri iaitu Norlizah, Norraha dan Norfara. Perkahwinan pertama Salih pada 1980 berakhir dengan perceraian pada 1989.
Bisik-bisik tentang perkhabaran perkahwinan terbaru Salih diketahui umum apabila gambar dan artikel Salih bersama calon isteri keempat yang hanya dikenali sebagai Ermi tersiar di dada akhbar beberapa hari lalu.
INILAH EMI, calon baru Salih Yaacob.


Masih berahsia tentang nama penuh bakal isteri barunya, Salih yang hanya mahu memperkenal wanita itu sebagai Ermi menjelaskan, perkahwinan bukanlah satu pelacuran.
"Saya mengambil untuk berkahwin bukan atas dasar nafsu tetapi kerana ketentuan Ilahi. Jadi, ia adalah tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya," katanya yang berdepan bermacam skeptikal sebaik sahaja berita berkenaan tersebar luas.
Bakal berkahwin lagi dengan wanita muda berusia 24 tahun sedangkan Salih, 50, sudah ada tiga orang isteri yang setia, itu satu situasi yang jarang-jarang berlaku dalam kehidupan seorang selebriti. Sedar perkara itu, Salih sendiri mengakui, selain ucapan tahniah, banyak juga kecaman yang terpaksa dihadapinya.
Salih mengakui kepada Sensasi Bintang bahawa dia juga sudah penat berdepan rutin hidup sebagai selebriti dalam industri.
Kontrak tahunannya bersama Sinar FM juga bakal berakhir Julai 2011 dan sehingga kini Salih masih berkira-kira untuk meneruskan kerjaya celoteh seawal 6 pagi itu.
Jika tawaran kontrak akan datang dirasakan tidak berbaloi dengan penat lelah, dia rela berundur untuk memberi perhatian kepada keperluan hidup sisi lain, mahu fokus kepada bisnes.
KEMESRAAN antara Salih dan Emi jelas kelihatan dalam satu sesi temubual bersama wartawan dan jurugambar.


Sensasi Bintang: Kenapa masih berahsia tentang nama sedangkan gambarnya sudah tersiar dalam surat khabar?
SALIH YAACOB: Kalau boleh saya tak mahu kecoh-kecoh, ini pun sudah kecoh jadinya. Saya hanya boleh katakan, Ermi seorang wanita terpelajar. Dia lulusan pengajian perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Dia berasal dari Johor, anak bongsu dari lima orang adik-beradik dan berketurunan Syeikh daripada sebelah bapanya. Setakat ini, biarlah namanya saya simpan sebagai kejutan.
Jadi sudah ada tarikh bilakah perkahwinan itu akan berlangsung?
Belum ada, tapi kalau boleh ia akan diadakan apabila saya dapat sempurnakan apa yang wajib dilakukan terlebih dahulu. Lagi cepat lagi baik.
Bagaimana dengan skeptikal orang, misalnya bakal isteri sebaya dengan anak?
Majoritinya masyarakat kita memang begitu, mungkin disebabkan saya ini bukan ahli ulama. Usia bukan penentu, ada orang yang lebih muda tetapi lebih celik akal daripada orang yang berusia. Saya ambil perkahwinan itu sebagai satu ujian, apabila ia diamanahkan kepada saya, maka wajib ke atas saya menunaikan amanah itu.
Ada disebutkan tentang kecaman, kecaman bagaimana yang diterima setakat ini?
Biasalah, dalam masyarakat Islam sendiri ada yang tidak faham tentang agama. Banyak juga tentangan yang harus saya tempuhi, bukan sahaja daripada orang luar, sanak saudara sendiri ada yang tidak setuju.
KETIGA-TIGA isteri Salih telah memberi kata sepakat untuk menerima Emi sebagai madu baru mereka.


Teruja tak, menanti hari perkahwinan nanti? Dengarnya mahu bersanding beramai-ramai termasuk dengan isteri-isteri terdahulu?
Saya biasa sahaja sebab sudah banyak kali melaluinya, mungkin perasaan itu berbeza dengan pihak wanita. Tentang persandingan itu, saya akan tengok bagaimana keadaannya nanti. Kalau perlu saya buat, itu sebagai tanda kemenangan mereka (isteri) bukan untuk saya. Kalau boleh saya hanya mahu bersederhana.
Kalau ada yang kata, hebatlah Salih Yaacob, nak kahwin lagi, dapat pikat anak dara pula, apa komen?
Saya boleh katakan, orang yang terpikat dengan cara saya. Macam dengan Emi, mungkin dia tertarik dengan amalan hidup saya atau mungkin merasakan saya mampu menjadi teman, pemimpin dan guru yang boleh mendidik dan membawanya ke jalan yang benar.
Tentang kontrak dengan Sinar FM, betulkah mahu berundur dari dunia seni?
Saya nak tengok keadaan dulu sebab saya penat dengan kesibukan ini, sekarang sibuk dengan penggambaran program, SY I Follow untuk Astro Ria, kalau boleh nak fokus dengan bisnes saya dan memperkemaskan kehidupan, itu sahaja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...