widget

Saturday, May 7, 2011

Teknologi Multimedia Luar Biasa


MODEL Sony Ericsson Xperia arc dilengkapi peningkatan teknologi multimedia moden dan tercanggih.


PEMBANGUNAN teknologi telefon bimbit pintar hari ini terus dipacu ke peringkat tertinggi menerusi penggabungan pelbagai elemen multimedia dan hiburan.

Sony Ericsson misalnya merupakan antara syarikat telekomunikasi yang tidak pernah jemu mencari formula dan kombinasi idea berkesan demi menawarkan pengalaman operasi terbaik kepada penggunanya.

Melengkapkan rangkaian siri telefon bimbit komunikasi hiburan Xperia keluaran mereka, organisasi peneraju dalam industri telefon bimbit mobiliti itu memperkenalkan pula model Xperia arc.

Menurut Pengurus Besar Hab Singapura dan Malaysia Sony Ericsson, Peter Ang, Xperia arc merupakan model pertama Xperia dilancarkan untuk tahun 2011.
''Ia disempurnakan bersama peningkatan teknologi multimedia terbaik berbeza daripada produk-produk Android yang berada di pasaran sekarang,'' katanya pada majlis pelancaran model itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis itu juga, Sony Ericsson turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi Maxis Berhad (Maxis) dalam menawarkan pakej pelan data istimewa untuk para pengguna.

Sony Ericsson Xperia arc hadir bersama sistem operasi terbaru daripada Google iaitu Android 2.3 (Gingerbread) dan pemproses 1 GHz Qualcomm.
Daripada segi binaan luar, peranti ini mempunyai reka bentuk lengkungan unik dan kemasan licin berkilat diperbuat daripada material premium logam vakum.

Ia juga merupakan antara telefon bimbit pintar yang paling nipis dengan ketebalan hanya 8.7 milimeter (mm) cukup sempurna untuk genggaman di tapak tangan.
Sesuatu yang eksklusif, model berkenaan dibangunkan bersama teknologi canggih Sony iaitu enjin paparan Mobile BRAVIA dan sensor pengimejan Exmor R.

Untuk teknologi Mobile BRAVIA, ia menawarkan kualiti paparan imej dan video terbaik iaitu 33 peratus lebih cerah daripada skrin biasa.
Sementara sensor Exmor R pula membenarkan kameranya yang beresolusi lapan megapiksel merakam foto berkualiti walaupun dalam keadaan pencahayaan rendah.
Xperia arc dilengkapi skrin sentuh pelbagai bersaiz 4.2 inci dengan kelebihan 16 juta warna dan diperbuat daripada kaca mineral.

Menerusi kelebihan slot sambungan kabel HDMI, pengguna boleh menikmati paparan video, foto dan permainan video secara sambungan terus ke televisyen.

Sony Ericsson Xperia arc kini boleh diperolehi daripada stor eksklusif Sony Ericsson pada harga pasaran RM2,099 atau menerusi langganan pakej Value Plans (Value Plus 50, 80, 150, 250, 500) dengan pelan data (500MB, 1.5GB, 3GB) oleh Maxis.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...