widget

Sunday, March 27, 2011

Berbulan Madu Pada Usia Emas


Pergi bulan madu kali kedua mungkin dapat mencambah kembali bunga-bunga. cinta.


PERKAHWINAN ibarat pohon yang perlu dibaja untuk menampakkan hasilnya. Pada satu peringkat atau tempoh akan terasa hambar dan tidak lagi menarik seperti seawal perkahwinan dulu.
Apabila usia mencecah separuh abad, anak-anak kian membesar, rumah tangga dikatakan terlalu sunyi hingga tiada apa lagi untuk diperkatakan antara anda suami isteri.
Justeru cara yang paling baik untuk mencambah kembali bunga-bunga cinta dalam rumah tangga ialah dengan pergi berbulan madu.
Tidak perlu risau kerana anak-anak sudah besar dan boleh menguruskan diri mereka sendiri. Lagipun anda pergi bukan untuk satu tempoh yang lama, cukup sekadar membangkitkan kembali kehangatan dalam rumah tangga anda yang kian suram.
Untuk mengatur satu lagi percutian bulan madu pertama sekali anda berdua perlulah bersedia, maksudnya tiada longgokan tugasan di pejabat dan telah menetapkan tarikh cuti bersama-sama.
Tetapkan bajet untuk percutian bulan madu anda sebaik mungkin. Jika mampu boleh berjalan jauh seperti ke luar negara dan di dalam negara juga sudah pasti menarik buat anda jika kena pada caranya.
Namun untuk bulan madu kali kedua sebaiknya pilih saja lokasi tempat percutian dalam negara. Ini kerana anda mungkin akan berasa lebih tenang kerana sesekali pasti akan terfikirkan keadaan anak di rumah.
Pada usia yang menuju ke arah separuh abad sebaiknya anda berdua melancong ke tempat yang penuh dengan alam semula jadi kerana itu pasti lebih menenangkan jiwa berbanding dengan tempat yang dipenuhi dengan hiburan.
Pasangan suami isteri emas juga lebih baik mengikuti jalan darat yang pastinya dapat mewujudkan perbualan yang lebih banyak apabila melihat keadaan di luar jalan.
Selain itu ia juga lebih ekonomi. Bila tidak pasti arah mana yang hendak dituju, anda berdua boleh merujuk kepada peta dan ini akan merapatkan komunikasi yang semakin kurang antara anda suami isteri.
Tetapi jika anda berdua tidak mahu percutian yang melecehkan sebaiknya anda memilih pakej pelancongan yang banyak ditawarkan oleh agensi pelancongan.
Dengan cara percutian berkelompok ini tidak mustahil anda berdua akan terasa lebih muda kerana dapat bersama-sama dalam satu kumpulan di samping segala perjalanan, lawatan, makanan, tempat tinggal yang telah diuruskan.
Bangkitkan jiwa romantis
Walaupun telah berusia, tidak salah jika anda berdua ingin hidupkan kembali suasana romantis tersebut. Anda kini berjauhan dari rumah, anak-anak dan hanya berdua menikmati keindahan alam dalam suasana sungguh tenang.
Boleh mulakan dengan makan malam romantis berdua, pilih menu yang ringkas dan minuman yang menyegarkan.
Pilih topik yang tidak terlalu berat untuk dibincangkan, mungkin boleh merancang masa selepas bersara ataupun membayangkan perkahwinan anak-anak pula.
Mungkin ada di antara sahabat anda yang memiliki pondok penginapan, sebuah pondok di tepi danau atau sebuah villa di kawasan pergunungan.
Seandainya mereka adalah sahabat karib, tentu saja anda boleh menggunakan pondok milik mereka atau sewa saja dengan harga yang menarik.
Beritahu tentang berita bulan madu anda pada rakan dan saudara mara. Anda boleh berkongsi kegembiraan dengan menunjukkan gambar dan sebagainya. Ingat, tunjukkan pada kawan rapat dan saudara-mara yang boleh dipercayai sahaja.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...