widget

Sunday, March 6, 2011

Wanita Yang Menutup Aurat Itu Indah Seperti Emas Permata

1 Rabiul'akhir 1432H,

Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam. Dia juga sudah boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu perkara.

Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?

Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan jawapan-jawapan mereka semua.

Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. Pada mulaya dia agak keberatan.

“Rasanya, sama sahaja jawapan daripada ustaz-ustaz itu. Tidak payahlah kita pergi membuang masa kita dengan menemui mereka.”

Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk, “Cubalah dahulu sahabat, bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan Kapten Fried juga hanya berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”

“Tapi ini soal agama? Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut. Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang mengerti.”

“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.

“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu, kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan melafazkan janji sebegitu.

Mereka berdua pergi berjumpa dengan ustaz tersebut.

“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari. Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup aurat.”

Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.

Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.

“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?”

“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.

“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”

“Pernah.”

“Pernah masuk ke kedai emas?”

“Pernah.”

“Pernah ke pasar malam?”

“Pernah.”

Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.

“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang mahal-mahal harganya?”

“Tentu sahaja di kedai emas.”

“Bagaimana keadaannya?”

“Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”

“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”

“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya itu.”

Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan,” katanya di dalam hati.

Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.

“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang cantik dan selamat.”

Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.

Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah an-Nur ayat ke-31.”

Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.

Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang, “Tiada Tuhan melainkan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...