widget

Thursday, June 23, 2011

Kehidupan Seorang Bapa Tunggal




Ciuman mesra daripada dua anak gadis Hazman sempena Hari Bapa.
STATUS sebagai bapa tunggal tidak pernah membuatkan Hazman Halid berasa tertekan untuk membesarkan tiga anaknya dengan penuh kasih sayang dan perhatian walaupun menyedari tidak dapat memberikan suasana yang sempurna untuk mereka.
Menganggap itu adalah cabaran paling besar bergelar bapa tunggal, Hazman yang berkahwin pada usia 24 tahun bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran Nuri Isfahana, 15, Anees Enrina, 14 dan Ahmad Arif, 12, sebagai pelengkap hidupnya.
“Sudah tentu banyak cabaran bergelar sebagai seorang bapa tunggal terutamanya apabila mengetahui saya tidak akan dapat memberikan suasana seperti keluarga normal yang lain,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.
Menyingkap sejarah ketika mula-mula bergelar bapa, Hazman, 40, yang bertugas sebagai jurutera perisian memberitahu, ketika anak sulungnya dilahirkan usianya baru menjengah 25 tahun dan menganggap ia sebagai kurniaan Tuhan paling terbaik dalam hidupnya.
Pada usia muda, dia mula belajar mengenal rasa tanggungjawab dan kasih kepada anak-anak. Mulai saat itu juga katanya, perhatiannya tentang kehidupan telah berubah dan hanya memikirkan mengenai anak-anak untuk membentuk masa depan mereka.
“Sebelum mendapat cahaya mata sendiri saya tidak biasa dengan kanak-kanak kerana saya adalah anak bongsu dalam keluarga. Namun selepas Nuri dilahirkan dia telah mengubah personaliti diri saya yang sebelum ini agak lasak dan suka menunggang motosikal tanpa memikirkan keselamatan diri saya.
“Hampir setiap tahun saya mengalami kecederaan tetapi kehadiran anak-anak telah mengubah cara saya melihat kehidupan dan lebih berhati-hati demi anak-anak,” katanya.
Tidak mengimpikan apa-apa pemberian istimewa daripada Nuri, Anees dan Ahmad sempena Hari Bapa, Hazman cuma berharap hari istimewa itu dapat dikongsi bersama dengan aktiviti seperti makan malam dan bersiar-siar di ibu kota dengan anak-anaknya.
Dan sempena hari itu juga, apa yang paling penting bagi Hazman adalah dia berharap telah melakukan langkah yang betul dalam membesarkan tiga cahaya matanya yang kini telah meningkat remaja.
“Sudah tentu impian setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak-anak menjadi insan yang berjaya dan berguna kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Hazman dan anak-anaknya (dari kiri) Nuri, Ahmad dan Anees.
Nuri, Anees dan Ahmad membanggakan
Galak bercerita mengenai tiga cahaya matanya, Hazman memberitahu setiap anaknya mempunyai keistimewaan dan personaliti tersendiri selain berperwatakan seperti remaja yang lain.
Anak sulungnya, Nuri, cemerlang dalam akademik dan keputusan peperiksaan yang keluar baru-baru ini telah membuatkan Hazman bangga dengan anak gadisnya itu.
“Nuri mendapat keputusan terbaik dalam kelas untuk subjek Geografi pada peperiksaan baru-baru ini malah saya sendiri sudah lupa berapa banyak penghargaan yang telah diterimanya,” ujarnya yang begitu berbangga dengan pencapaian Nuri.
Manakala anak keduanya, Anees disifatkan sebagai seorang yang berani dan mempunyai sifat yang cekal dan tidak takut pada perkara-perkara yang kebiasaannya ditakuti oleh gadis biasa sepertinya.
Ahmad anak bongsu yang juga anak lelaki tunggal Hazman pula banyak mengikut sifat bapanya dalam pelbagai segi selain gigih dalam sukan badminton.
“Paling membanggakan saya mengenai mereka adalah walaupun dibesarkan di Detroit, Amerika Syarikat mereka masih mengekalkan tatatusila ketimuran dan adat sopan sebagai seorang anak jati Melayu,” ujarnya yang turut memberitahu anak-anaknya dapat menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan baik.
Menurut Hazman dia bertuah kerana anak-anaknya akan bersamanya lebih kurang empat hari dalam seminggu. Masa yang ada itu digunakan sebaik-baiknya untuk bersama mereka dan jika sibuk di pejabat, Hazman akan memastikan dia mencuri masa untuk berkongsi bersama mereka.
Liberal dalam mendidik anak-anak
Berkongsi pandangan mengenai cara dia mendidik anak-anaknya, Hazman berkata dia tidak mahu terlalu menekan anak-anak, sebaliknya lebih bersikap liberal kerana percaya cara itu dapat memupuk mereka supaya mempunyai identiti dan arah tujuan hidup tersendiri.
Bukan tidak menyayangi atau mengambil berat mengenai mereka, tetapi menurut Hazman cara itu dapat mendidik anak-anaknya supaya membiasakan diri untuk berfikir dan menentukan apa yang baik dan buruk.
“Saya sedar saya tidak boleh berada di samping mereka selama-lamanya, sebagai bapa saya hanya menunjukkan arah yang betul dan membimbing serba sedikit kerana akhirnya mereka sendiri yang menentukan apa yang terbaik buat diri mereka,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...