Monday, February 20, 2012

Peluang Ceburi Bisnes Telekomunikasi Luar Bandar





BISNES TMC sesuai dijalankan di pekan-pekan kecil untuk kemudahan penduduk luar bandar.


CAPAIAN Internet yang terhad di luar bandar dan pedalaman mengakibatkan penduduk kawasan tersebut sering berhadapan dengan masalah membuat pembayaran bil setiap bulan.
Lebih menyulitkan, kaunter pembayaran yang terletak di jauh di pekan-pekan juga menyebabkan mereka terbeban dengan kos yang perlu ditanggung serta pembaziran masa.
Memahami permasalahan itu, sebuah syarikat bumiputera tempatan, Berjaya Telekomunikasi telah memperkenalkan Program Keusahawan Komunikasi untuk memberi kemudahan kepada penduduk luar bandar.
Ia dilaksanakan di bawah projek Pusat Perkhidmatan Telekomunikasi Bersepadu atau lebih dikenali sebagai Pusat Telco Mini (TMC).
Tujuannya adalah untuk memberi kemudahan pembayaran pelbagai jenis bil di kalangan penduduk pedalaman selain menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan telekomunikasi.
Menurut Ketua Eksekutif Pemasaran TMC, Jeffrey Khua, menerusi projek berkenaan, individu yang berminat boleh menyertai pakej perniagaan yang telah disediakan TMC.
"Mereka akan bertindak sebagai agen kutipan di sesebuah kawasan untuk memudahkan penduduk menjelaskan pelbagai jenis bil seperti bil telefon, utiliti dan penyiaran termasuk pembayaran bagi dua syarikat telekomunikasi di Brunei.
"Apa yang menarik, sistem ini tidak memerlukan sebarang akses komputer atau Internet sebaliknya hanya menggunakan aplikasi yang terdapat pada telefon bimbit.
"Aktiviti bisnes berteraskan teknologi maklumat dan telekomunikasi ini sebenarnya bakal memberi pulangan lumayan dan tidak mempunyai risiko tinggi berbanding perniagaan lain,'' jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Selain perkhidmatan sedia ada, pada tahun 2012 ini, TMC bakal memperkembangkan dua lagi servis terbaru iaitu pemindahan duit serta pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sebagainya.
Sesuatu yang menarik mengenai aplikasi pembayaran melalui telefon bimbit itu, ia mempunyai antara muka yang ringkas dan mudah untuk dikendalikan.
Bagi melaksanakan transaksi, agen perlu mengkreditkan nilai tertentu ke dalam akaun telefon bimbit mereka terlebih dahulu sebelum ditolak secara automatik sekiranya pelanggan membuat bayaran.
Keuntungan akan diperoleh menerusi caj perkhidmatan yang dikenakan bergantung kepada jarak dan keadaan sesebuah kawasan pedalaman.
Selain individu, para pemilik kedai telefon bimbit dan kedai runcit juga dialu-alukan untuk menyertai projek tersebut.
Ketika ini, TMC mempunyai seramai 52 orang agen di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak dan dijangka ia akan meningkat kepada 1,000 orang menjelang pertengahan tahun ini.
Untuk menyertai TMC, usahawan perlu membayar pakej RM1,995 bagi menerima telefon bimbit beserta aplikasi, kredit bernilai RM300, buku resit dan yang paling penting tidak mempunyai sebarang kos penyelenggaraan.
Oleh itu, agen akan mendapat keuntungan seratus peratus daripada kos perkhidmatan yang dikenakan.
Daripada segi sekuriti pula, pembayaran tersebut adalah selamat dan dijamin boleh dikemas kini dalam masa 24 jam.
Bercerita mengenai aplikasi TMC, Jeffrey memberitahu, pembangunan programnya telah mengambil masa selama tiga bulan dengan sokongan pengaturcara dari China.
Aplikasi berkenaan mempunyai keupayaan boleh diselaraskan bersama semua model telefon bimbit sama ada yang baru atau pun lama.
Untuk strategi perniagaan tersebut pula, pihak TMC akan memberi pendedahan dan informasi kepada pembekal serta pemilik kedai telefon bimbit di seluruh Malaysia tentang betapa mudahnya menjelaskan bil menerusi telefon bimbit.
"Ini merupakan peluang perniagaan yang sangat baik untuk penduduk luar bandar meningkatkan taraf sosio ekonomi melalui bisnes telekomunikasi.
"TMC akan membantu mereka yang berminat bagi memulakan perniagaan ini daripada segi daripada segi latihan dan bimbingan nasihat,'' jelasnya.
Pada masa hadapan, TMC bercadang untuk mewujudkan sistem pembayaran dalam bentuk caravan bergerak untuk kemudahan mobiliti lebih baik kepada pengguna.
Mereka yang berminat menjadi usahawan TMC boleh menghubungi talian 03-8888 8655, 09-662 6862 atau layari portal TMC di www.tmc.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...