widget

Monday, February 6, 2012

Portal lot.my Bantu Usahawan



KEBANYAKAN orang mungkin pernah memasang impian menjadi usahawan berjaya sehingga mampu menjana keuntungan besar.

Pelbagai angan-angan bermain di fikiran seperti memikirkan jenama, produk yang ingin dipasarkan dan platform terbaik untuk memasarkan barangan.

Bagaimanapun, apabila memikirkan modal yang besar perlu diperuntukkan sebelum dapat menubuhkan sesuatu cabang perniagaan, ramai mengangkat bendera putih.

Menyedari potensi sektor perniagaan, sekumpulan anak muda yang terdiri daripada Mohd. Akmal Akhpah, Shahabudeen Jalil, Mohd. Suhaimi Ramly, Khairul Anwar M. Zaki, Luqman Zulhusni Ismael dan Mohd. Alif Nordin telah membangunkan portal lot.my dalam memberi platform kepada bakal-bakal usahawan tanpa memerlukan modal besar.

Salah seorang yang membangunkan portal berkenaan, Shahabudeen, 29, berkata, lot.my telah ditubuhkan pada tahun 2010 untuk memberi peluang kepada usahawan membuka perniagaan melalui medium dalam talian.

Dia memberitahu, tujuan utama pembikinan portal berkenaan adalah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam talian bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Kita mendapati terdapat beberapa faktor yang menjadi batu penghalang utama sehingga membantutkan hasrat bakal usahawan ini untuk memulakan perniagaan dalam talian.

“Antaranya ialah kos pembikinan laman web e-dagang yang agak tinggi, tidak mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan saluran pemasaran tidak berkesan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Shahabudeen menjelaskan, ia juga diharap dapat mengubah paradigma masyarakat terhadap perniagaan melalui internet apabila terdapat persepsi yang mengaitkan bidang perniagaan dalam talian sebagai bidang berisiko tinggi.

Katanya, lot.my ingin mengubah persepsi tersebut dengan memaparkan perniagaan dalam talian sebagai satu bidang yang patut diceburi oleh semua pihak, termasuklah usahawan-usahawan yang baru menceburkan diri dalam perniagaan.

“Teknologi yang sedia ada membolehkan perniagaan dalam talian dijalankan dengan mudah dan dapat dilakukan secara separuh masa, malah di mana-mana sahaja mereka berada.

“Ia amat sesuai apatah lagi apabila masyarakat hari ini yang sentiasa berdepan kekangan masa,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teknologi

Dalam pada itu, M. Alif Nordin, 29 menjelaskan, sistem lot.my dibina dengan harapan untuk membolehkan bakal usahawan mendedahkan diri kepada dunia perniagaan dalam talian secara sistematik dan kos efektif.

“Ia adalah satu aplikasi membolehkan para usahawan membuka kedai dalam talian lengkap dengan mudah dan berkesan.

“Bahkan, pengguna yang tidak mempunyai kemahiran IT boleh mengendalikannya dengan mudah. Mereka boleh memulakan kedai dalam talian dengan mendaftar, pilih reka bentuk kedai dan iklankan produk,” katanya lagi.

Efektif

Graduan Universiti Multimedia (MMU) itu menjelaskan, pengguna tidak perlu memikirkan tentang pembelian domain, konfigurasi server, muat turun perisian atau apa jua keperluan kompleks lain untuk menggunakan lot.my.

Katanya lagi, ia berasaskan web dan pendaftaran boleh dibuat dalam masa lima minit sahaja. Pengguna tidak perlu risau tentang kos kerana ia sangat berpatutan.

Dalam pada itu, usahawan mempunyai kebebasan menukar paparan kedai dalam talian mereka dengan mudah.

Setiap modul juga boleh disembunyikan atau dipaparkan mengikut cita rasa pemilik kedai untuk menarik perhatian pelanggan.

Bagi mereka yang inginkan kelainan terdapat beratus-ratus latar belakang disediakan menanti usahawan. Ia boleh disuai padankan dengan tema kedai dan produk. Usahawan juga boleh memasukkan logo atau banner sendiri.

Sementara itu, Khairul Anwar M. Zaki, 29, memberitahu, lot.my menawarkan sistem e-dagang lengkap yang merangkumi fungsi-fungsi utama perniagaan seperti sistem katalog, pemasaran, inventori, bayaran, dokumentasi dan perhubungan pelanggan.

“Mereka boleh membuat analisis dengan melihat pelbagai statistik apabila menggunakan portal ini. Ia termasuk kehadiran harian pelawat, populariti produk, dan rekod jualan.

“Ia juga memudahkan usahawan terutama yang baru berjinak menceburi bidang ini untuk membina perniagaan secara efektif dan efisien melalui sistem pengurusan jualan teratur serta berkesan,” katanya.

Menyentuh mengenai keselamatan, Khairul Anwar memberitahu, setiap pemilik kedai akan mempunyai ruang operasi sendiri.

Katanya, hanya pemilik kedai yang boleh mengakses ruang operasi kedai mereka sendiri.

“Lot.my dibantu oleh sistem sekuriti yang tinggi dan sistem pembayaran selamat untuk memastikan keselesaan usahawan serta pelanggan mereka dalam menjalankan urus niaga.

“Kami turut menyediakan khidmat bantuan sokongan dalam membantu menyelesaikan sebarang masalah dihadapi melalui tanya@lot.my,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Shahabudeen menambah, terdapat kira-kira 10,000 pengguna yang menggunakan portal berkenaan secara percuma semasa ia mula dilancarkan dua tahun lalu.

Sasaran

Katanya, pengguna yang membayar menggunakan lot.com pula adalah sebanyak 250 orang.

“Kita berharap ia dapat dipertingkatkan pada tahun ini sehingga 1,000 pengguna dengan pengenalan akaun premium.

“Akaun premium telah diperkenalkan pada tahun lalu bagi mereka yang serius dalam bidang perniagaan dengan mengenakan bayaran RM39.90 untuk satu bulan atau RM399.90 satu tahun,” katanya.

Dia memberitahu, lot.my turut memperkenalkan pakej baharu iaitu belajar sampai pandai.

Katanya, pakej tersebut akan menumpukan pembelajaran bersama usahawan dan wakil lot.my secara one on one selama enam bulan.

“Dalam pakej ini, kita hanya mengenakan bayaran sebanyak RM600 sahaja kepada bakal usahawan.

“Bengkel juga akan diadakan pada 3 Februari ini di Ampang Point, Kuala Lumpur

- KOSMO!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...