Monday, February 6, 2012

Risiko Biarkan Tubuh Kontang




Tubuh manusia memerlukan air untuk mengekalkan darah dan cecair-cecair lain secukupnya bagi membolehkannya berfungsi dengan sempurna. Di samping cecair badan, tubuh juga memerlukan bahan elektrolit, yang terdiri daripada garam yang lazimnya terdapat di dalam darah, cecair tubuh yang lain dan sel-sel.

Dehidrasi merupakan kehilangan air dan garam daripada badan. Dalam bahasa Melayu secara umumnya, ia boleh dimaksudkan sebagai kekontangan. Badan kita boleh kehilangan cecair melalui pelbagai cara. Antaranya adalah:

* Ketika membuang air kecil.

* Semasa muntah atau mengalami cirit-birit.

* Ketika berpeluh.

* Melalui paru-paru semasa bernafas.

Jika badan kehilangan sejumlah besar cecair dan garam dan tidak digantikan dengan segera seperti meminum air, badan akan kekeringan atau kekontangan. Walaupun sesiapa sahaja boleh mengalami dehidrasi, golongan yang paling mudah mengalami masalah ini adalah:

* Bayi yang berumur di bawah 1 tahun.

* Warga tua.

* Mereka yang mengalami demam.

* Penduduk yang tinggal di kawasan beriklim panas.

Apabila disebut dehidrasi kita juga terbayang manusia di tengah padang pasir yang sedang kehausan atau seorang atlet baru selesai menghabiskan acara sukan berat.

Benda yang paling berharga dalam keadaan itu adalah air yang dianggap penyambung nyawa.

Namun dehidrasi bukan setakat itu. Bukan sekadar rasa dahaga yang kemudiannya boleh dihilangkan dengan hanya meminum air. Sebaliknya dehidrasi boleh mengakibatkan pelbagai kesan sampingan lantaran air merupakan elemen paling penting dalam tubuh manusia. Justeru kehilangan air dalam badan yang banyak mengancam nyawa seseorang, dalam keadaan itu kita sebenarnya mengalami dehidrasi kronik.

Mungkin tidak ramai yang tahu tentang dehidrasi kronik dan bagaimana untuk mengetahui jika seseorang mengalami keadaan tersebut.

Kebanyakan kita percaya badan hanya memerlukan air apabila kita berasa dahaga. Sebenarnya tidak begitu. Apabila mulut berasa kering dan kita berasa dahaga, tubuh kita sebenarnya telah benar-benar kontang. Mungkin sesuatu yang mengejutkan jika diberitahu mulut yang kering adalah petunjuk keadaan dehidrasi teruk. Ketika itu anda telah berada pada paras dehidrasi kronik.

Badan kita dilengkapi dengan sistem pintar. Sebelum sampai ke tahap mulut berasa kering, badan akan menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan memulakan proses mengagihkan semula air yang masih ada di dalam badan. Apabila tubuh dalam keadaan dehidrasi kronik maka rasa letih, hilang tenaga, sukar membuang air besar, kesukaran penghadaman, tekanan darah rendah atau tinggi, ulser perut, kesukaran pernafasan, ketidakseimbangan asid/alkali, lebihan berat badan dan obesiti, ekzema, kolesterol, jangkitan air kencing reumatisme dan penuaan akan berlaku.

Tubuh manusia terdiri daripada 70 peratus air, otak pula mengandungi 80 peratus air, komposisi darah terdiri daripada 90 peratus air. Ini bermakna kita bergantung kepada air sebagai asas kewujudan kita di muka bumi dan bukannya soda, jus, kopi, teh atau minuman keras. Kita memerlukan air untuk membolehkan sel-sel dalam dalam berfungsi mengikut yang sepatutnya.

Kita perlu tahu bahawa kehilangan satu peratus air daripada keseluruhan berat badan akan mengakibatkan kita hilang 10 peratus keupayaan fizikal. Apabila tubuh terdedah kepada suhu 30 darjah celcius, air yang hilang adalah sebanyak tiga liter setiap jam atau lebih daripada 4 peratus berat badan, bermakna kita boleh menjangkakan kehilangan 40 peratus keupayaan fizikal. Jika kita bekerja di bawah terik matahari maka kadar kehilangan tenaga adalah lebih.

Dalam suasana persekitaran yang panas, anda memerlukan lebih banyak air untuk kekal bertenaga. Untuk kesejahteraan fizikal dan mental, kualiti serta kuantiti air yang diambil mesti diambil kira.

Lapar atau dahaga?

Jika kita memerlukan air, biasanya kita memilih sama ada minum air atau mengambil makanan yang mengandungi air. Kebiasaannya kita akan memilih makanan daripada air. Dalam kebanyakan kes, kita tersilap antara lapar dan dahaga menyebabkan kita makan banyak untuk memenuhkan keperluan air dalam badan. Hasilnya kita menambah lemak terkumpul terutama jika makanan yang diambil adalah makanan siap proses atau makanan segera.

Semakin banyak kita makan, semakin banyak air diperlukan untuk proses penghadaman dan menyingkirkan sisa buangan dari badan.

Tubuh kita terdiri daripada air dan tanpa air, kita bernasib baik jika dapat bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hari. Biarpun begitu, ramai daripada kita berhadapan dengan suasana tidak selesa dan masalah kesihatan semata-mata kerana kita tidak minum air yang mencukupi.

Albert Einstein pernah berkata, melakukan perkara yang sama berkali-kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza adalah. Oleh itu pastikan air dalam badan kita mencukupi dan lakukannya setiap hari kerana hasilnya adalah sama iaitu untuk mengekalkan kecergasan dan membolehkan sel-sel badan berfungsi.

- MINGGUAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...