widget

Monday, February 20, 2012

Tablet Hiburan Multimedia





Tablet yang mempunyai reka bentuk unik menjadi aset utama menarik pengguna.


MEMPERTARUH kekuatan reka bentuk unik dan kandungan menarik, Sony (Malaysia) Sdn. Bhd (Sony) baru-baru ini memperkenal produk komputer tablet, Sony Tablet S.
Produk yang memberi fokus kepada fungsi multimedia itu hadir bersama spesifikasi paparan skrin sentuh 9.4 inci, pemproses berkuasa NVIDIA Tegra 2 Mobile serta berat hanya 598 gram (g).
Menurut Pegawai Pengurus Pengalaman Pengguna Sony, Pang Chir Hoy, Sony Tablet S memiliki empat ciri utama iaitu fungsi optimum, pengalaman lancar, hiburan menarik dan kawalan pelbagai peranti.
''Memandangkan produk tablet kini semakin digunakan secara meluas, kemunculan peranti ini pasti dapat membantu pengguna melakukan aktiviti berhibur serta tugasan secara lebih lancar.
''Untuk kategori tablet ini, kita menyasarkan pengguna dari kalangan peringkat umur antara 25 hingga 40 tahun,'' katanya pada taklimat media produk berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sony Tablet S mempunyai rekaan unik berbentuk asimetrik iaitu sama seperti keadaan majalah dilipat ke belakang di mana mempunyai bahagian atas yang tebal serta menipis di bahagian bawah.
Ia bertujuan untuk memberi keselesaan ketika tablet itu dipegang selain memudahkan kerja-kerja menaip.
Kelebihan lainnya, pengguna akan dapat melihat terus ke arah skrin secara lebih jelas apabila tablet diletakkan di atas permukaan rata.
Sony Tablet S turut dilengkapi teknologi TruBlack untuk fungsi mengurangkan gangguan silau atau pantulan apabila beroperasi di bawah pencahayaan tinggi.
Ia juga boleh diintegrasi bersama rangkaian hiburan dan perkhidmatan kandungan daripada Sony seperti video dan muzik tanpa batasan serta permainan video PlayStation.
Lebih menarik lagi, gajet itu boleh diselaraskan bersama peranti hiburan di rumah secara wayarles seperti televisyen, pemain cakera Blu-ray dan set teater rumah untuk permainan kandungan multimedia melalui aplikasi DLNA.
Menerusi aplikasi Media Remote pula, tablet berkenaan boleh mengawal pelbagai operasi pada peranti Bravia menggunakan khidmat Wi-Fi.
Walaupun mempunyai banyak kelebihan, namun model ini hanya hadir dalam versi capaian Wi-Fi tanpa sokongan rangkaian 3G.
Dengan pilihan kapasiti memori 16 gigabit (GB) dan 32GB, Sony Tablet S bakal memasuki pasaran Malaysia awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...